‘Alhamdulillah saya sudah dapat kerja’

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

LENDU 10 April – “Alhamdulillah, dalam keadaan saya kehilangan sebelah kaki, masih ada majikan yang mengambil saya bekerja.

“Saya tidak sangka ada syarikat yang sedia menawarkan pekerjaan kepada saya dan saya amat bersyukur kepada Allah serta berterima kasih kepada syarikat itu,” kata Hendrizal Sarman, 27.

HENDRIZAL (tengah) dan Mohd Zulhusni berbual dengan Sulaiman selepas diterima bekerja pada Karnival Kerjaya Tiga Daerah Peringkat Negeri di Kompleks Sukan Masjid Tanah hari ini.

Beliau yang kehilangan kaki kanan akibat kemalangan ketika menunggang motosikal pada Julai 2013 bersyukur diterima bekerja di sebuah pasar raya melalui Karnival Kerjaya Tiga Daerah Peringkat Negeri, di sini hari ini.

 

“Sebelum ini saya dan isteri menjalankan perniagaan produk bagi wanita yang baharu bersalin secara dalam talian.

“Hari ini saya ditawarkan pekerjaan sebagai kerani di sebuah pasar raya selepas ditemuduga,” katanya ketika ditemui selepas beramah mesra dengan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada karnival berkenaan di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini.

Beliau berkata, kecacatan berkenaan tidak menghalangnya untuk berusaha mendapatkan pekerjaan bagi menyara tiga anak berusia antara satu hingga enam tahun.

HENDRIKA Mohd Fadzir (kiri) dan Norizatul Iffa Adnan mengisi borang untuk menghadiri temuduga pada Karnival Kerjaya Tiga Daerah Peringkat Negeri di Kompleks Sukan Masjid Tanah hari ini.

Karnival sehari anjuran Institut Tun Perak (ITP) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu menyediakan 5,000 peluang pekerjaan, khususnya dalam sektor industri pembuatan.

Sebanyak 35 majikan mengambil bahagian dalam program itu menyediakan sesi temuduga dan menawarkan pekerjaan secara terus kepada remaja.

Mohd Zulhusni Mohd Yusof, 21, berkata beliau bersyukur apabila diterima bekerja di sebuah syarikat di Genting Highlands, Pahang.

“Sebelum ini saya bekerja separuh masa di beberapa tempat tetapi selepas mendapat kerja ini, saya akan berpindah ke Genting Highlands,” katanya.

NORAZMYLEA (kanan) dan Fatihah menghadiri temuduga syarikat semi konduktor pada Karnival Kerjaya Tiga Daerah Peringkat Negeri di Kompleks Sukan Masjid Tanah hari ini.

Norazmylea Azhar, 28, berkata beliau ingin mendapatkan pekerjaan di kilang semi konduktor yang lebih hampir dengan kediamannya di Kampung Pulau, di sini.

Rakannya, Fatihah Omar, 21, juga berharap diterima bekerja di kilang yang sama dengan Norazmylea dan bersedia mula bekerja pada bila-bila masa.

Henrika Mohd Fadzir, 26, berkata beliau kehilangan pekerjaan di sebuah syarikat insurans akibat pandemik COVID-19 sejak enam bulan lalu dan berharap diterima bekerja dalam sektor perakaunan.

“COVID-19 menyebabkan saya mengambil keputusan berhenti kerja kerana syarikat tidak mampu memberikan gaji penuh,” katanya.

Norizatul Iffa Adnan, 26, berkata beliau sudah setahun menganggur akibat pandemik berkenaan dan menghadiri karnival itu untuk mencuba nasib.

“Saya berdoa Allah memurahkan rezeki saya untuk diterima bekerja dalam bidang perakaunan di mana-mana syarikat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

894
Kongsi :
Previous post Malakat Mall pacu ekonomi usahawan Islam dalam peruncitan
Next post 104,363 AJK KRT seluruh negara telah daftar program vaksin
Ubah saiz-+=