‘Along’ santuni 180 ketua keluarga Orang Asli

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

ASAHAN 3 April – Berbaki kurang seminggu sebelum tibanya Aidilfitri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan, turun padang menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli beragama Islam sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, sumbangan yang disampaikan diharap dapat meringankan beban ketua isi rumah masyarakat Orang Asli dalam melakukan persiapkan menyambut Aidilfitri.

Katanya, program seumpama itu juga mampu mengeratkan lagi tali persaudaraan dalam kalangan Muslim dan meningkatkan tahap keimanan masyarakat Orang Asli.

“Kali ini seramai 180 ketua isi rumah dari empat perkampungan masyarakat Orang Asli sekitar DUN Asahan menerima sumbangan daripada pihak Japerun.

“Sebenarnya umpama satu tradisi, setiap kali menjelang perayaan tidak kira, Tahun Baru Cina, Deepavali atau Aidilfitri kami akan turun padang menyantuni penduduk sekitar DUN Asahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penyampaian Bantuan Aidilfitri Bersama Masyarakat Orang Asli kepada penduduk Orang Asli di Kampung Bukit Seraya, hari ini.

Menurutnya, kebajikan masyarakat Orang Asli tidak pernah dipinggirkan dan antara yang diberikan perhatian oleh beliau ketika ini adalah menyediakan kediaman lebih selesa menerusi program baik pulih rumah.

“Selain itu kami turut melihat bentuk pembangunan atau kemudahan bersesuaian untuk kemudahan dan juga keselesaan masyarakat Orang Asli di DUN Asahan,” katanya.

Sementara itu, penerima sumbangan Jusnawati Amirudin, 65, dari perkampungan masyarakat Orang Asli Bukit Seraya, meluahkan rasa gembiran atas kesudian Fairul Nizam berkunjung ke penempatan itu.

“Sudah pasti sumbangan yang disalurkan dapat meringankan beban dalam membuat persiapan raya, tetapi apa yang lebih mengembirakan kami adalah terasa dekat dengan pemimpin serta dihargai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

74
Kongsi :
Previous post Juadah ikonik Melaka jadi tarikan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kesidang
Next post JAIM tidak pinggirkan ‘komuniti penyayang’
Ubah saiz-+=