Juadah ikonik Melaka jadi tarikan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kesidang
KESIDANG 3 April – Juadah ikonik Melaka seperti kuih keria dan ‘coconut shake’ menjadi antara menu yang akan disajikan kepada orang ramai pada penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, 21 April depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin berkata, rumah terbuka kali ini akan diadakan di padang hadapan masjid Taman Merdeka Jaya dan dijangka dihadiri lebih 7,000 tetamu.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, selain menu ikonik Melaka, pelbagai jenis menu hari raya akan disajikan kepada orang ramai yang hadir.
“Jika tahun lalu kita anjurkan di Kompleks Japerun Kesidang, tahun ini kita berpindah ke lokasi baharu di Taman Merdeka Jaya dengan sasaran lebih ramai tetamu.
“Kalau boleh kita mahu setiap penganjuran diadakan di lokasi-lokasi yang berbeza supaya lebih ramai dapat merasai kemeriahan itu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Allex, selain juadah yang enak, pelbagai jenis persembahan juga akan diadakan pada majlis tersebut.
“Antara yang menarik ialah kita membawakan pelajar dari beberapa buah sekolah dari dalam DUN Kesidang untuk membuat persembahan yang mana ia akan disaksikan ibu bapa dan tetamu yang hadir,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.