Ambil kira impak, tidak terburu-buru laksana ‘No Right Turn’ – KM

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

DURIAN TUNGGAL 4 Julai- Kerajaan Negeri tidak akan terburu-buru dalam melaksanakan projek rintis ‘No Right Turn’ di persimpangan Stadium Hang Jebat, Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) bagi menyelesaikan kesesakan trafik di kawasan berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pelbagai kajian terperinci secara menyeluruh akan dilakukan sebelum pelaksanaan projek rintis tersebut.

Katanya, Kerajaan Negeri mengambil kira semua impak daripada pelbagai sudut termasuk pandangan penduduk sekitar dan pengguna jalan raya.

“No Right Turn ini tidak akan bersifat kekal, ia hanya akan dilaksanakan pada waktu puncak sahaja pada jam 6 hingga 9 pagi dan 4 hingga 7 petang.

“Dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri akan merumuskan segala cadangan, pandangan dan dapatan termasuk daripada orang ramai. Ia akan diperincikan serta terancang dan bukan terburu-buru.

“Kita akan pastikan bahawa pelaksanaan ini merupakan satu penyelesaian dan kita akan adakan dua lagi mesyuarat dan dalam tempoh 30 hari pelaksanaan itu akan dimulakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan di lokasi cadangan pelaksanaan inisiatif ‘No Right Turn’ di persimpangan Stadium Hang Jebat di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata pihak JKR juga telah menyediakan jalan alternatif kepada pengguna jalan raya di bawah jejambat Cheng untuk buat pusingan U.

“Pelaksanaan (peringkat) percubaan akan dilakukan di persimpangan Stadium Hang Jebat namun kesan daripada pelaksanaan itu akan dilihat di persimpangan Krubong dan persimpangan Gangsa, Durian Tunggal.

“Hal ini menerusi tinjauan saya di ketiga-tiga persimpangan bermula jam 6.45 pagi tadi, statistik kita dapati dalam tempoh waktu puncak hampir 1,000 kenderaan melalui laluan terbabit.

“Dan sebelum pelaksanaan percubaan, kita mahu ‘educate’ atau mendidik pengguna utama laluan ini untuk menggunakan laluan alternatif yang akan dimaklumkan sebelum pelaksanaan dibuat, bagi memudahkan semua pengguna jalan raya sekali gus dapat menguraikan trafik sesak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1519
Kongsi :
Previous post Masalah banjir, ribut dihadapi penduduk diselesai segera
Next post Sidang DUN Julai bakal bentang RUU Anti Lompat Parti – KM
Ubah saiz-+=