Anak Melaka jagoan bola sepak dunia

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 4 Ogos – Anak jati Melaka yang juga legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Ann kini diangkat sebagai ahli terbaru Kelab Abad Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam kemas kini terbaharu.

Tambah manis, bekas pemain berusia 71 tahun itu turut dinobatkan sebagai pemilik kap (penampilan) antarabangsa terbanyak dengan 195 penampilan sepanjang 15 tahun menyarung jersi kebangsaan.

Selain Chin Ann, turut tersenarai dalam kemas kini terbaharu FIFA ialah Ketua Jurulatih Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC), Zainal Abidin Hassan serta mendiang Datuk M Chandran dan Datuk Santokh Singh.

Chin Ann berkata, pengiktirafan itu nyata satu kebanggaan buat dirinya selepas menempuh pelbagai perit getir dan pengalaman pahit manis sepanjang bergelar pemain bola sepak.

Antara yang dikenang ialah kejayaan membantu negara layak ke temasya Olimpik pada 1972 dan 1980, walaupun negara menarik diri dari temasya tahun 1980.

“Apapun pengiktirafan itu sebenarnya untuk penggiat sukan serta generasi bola sepak negara dan akar umbi masa depan yang bakal terus dibentuk.

“Semoga ia menjadi dorongan semangat kepada mereka untuk membawa Malaysia ke mercu antarabangsa.

“Paling tidak mereka boleh meletakkan skuad negara beraksi di Olimpik selepas ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Chin Ann bagaimanapun tetap percaya jumlah kap yang dimilikinya bersama skuad kebangsaan lebih daripada apa yang disenaraikan FIFA.

Mengikut data Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Chin Ann telah melakukan 252 penampilan bersama skuad kebangsaan, namun FIFA hanya mengiktiraf 195 perlawanan Kategori A yang membabitkan anak kelahiran Alor Gajah itu.

Jumlah penampilan itu bagaimanapun berjaya mengatasi rekod Ahmed Hassan dari Mesir yang mengumpul 184 kap, diikuti Bader Al Mutawa (181) dari Kuwait dan Ahmed Mubarak dari Oman (180).

Satu-satunya pemain masih aktif yang berada dalam kelompok 10 pemain dengan penampilan terbanyak ialah bintang Portugal, Cristiano Ronaldo yang mengumpul 173 kap setakat Mac 2021.

Sebelum ini, tiga legenda bola sepak iaitu Datuk Abdul Shukor Salleh (163 kap), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138 kap) dan mendiang Datuk R Arumugam (131 kap) diberi pengiktirafan menganggotai Kelab Abad FIFA.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1094
Kongsi :
Previous post Agong, permaisuri zahir rasa bangga kejayaan Chin Ann
Next post Sukarelawan MOVAK berbakti pada usia kian senja
Ubah saiz-+=