Sukarelawan MOVAK berbakti pada usia kian senja

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER LIMAU 4 Ogos – Tiga sukarelawan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) berbangga memberikan sumbangan melicinkan Program Kebajikan (Outreach) Vaksinasi COVID-19 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, di sini meskipun usia kian senja.

Mohd Safari Salleh, 56, Zulkifli Mohd Noor, 55, dan Jaafar Atan, 59, membantu melakukan sanitasi kepada penerima vaksin serta mengawal aliran keluar dan masuk kereta ke kawasan itu.

Mohd Safari berkata, dia teruja untuk menjadi sukarelawan MOVAK apabila pendaftaran dibuka minggu lalu demi berbakti sesama insan.

SUKARELAWAN wanita turut membantu kelancaran Program MOVAK di Dewan JAPERUN Ayer Limau. – Foto DIN AHMAD.

“Saya amat gembira dapat menyumbangkan masa dan tenaga untuk menjayakan program kebajikan ini kerana selama ini saya hanya bekerja kampung dan jarang dapat berkhidmat untuk masyarakat.

“Sejurus selepas solat Subuh, saya sudah keluar rumah di Kampung Paya Lebar untuk ke dewan ini bagi membantu kelancaran pendaftaran penerima vaksin,” katanya ketika ditemui di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau, Lubok Cina dekat sini, hari ini.

Zulkifli berkata, dia tidak mahu ketinggalan untuk membantu penganjur program iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah dan JAPERUN berkenaan.

“Alhamdulillah, walaupun tugas saya sekadar menyembur sanitasi ke tubuh penerima vaksin yang memasuki dewan untuk menerima vaksin, saya bangga.

“Sedikit sebanyak saya saya turut berjasa kepada kerajaan yang berusaha memutuskan rantaian wabak COVID-19 yang semakin menular dan membimbangkan sekarang,” katanya.

Jaafar berkata, ketika mendaftar sebagai sukarelawan MOVAK, dia tidak memikirkan elaun yang disediakan, sebaliknya hanya fokus tugas yang harus dilakukan bagi melicinkan urusan penerima vaksin beratur sebelum mendaftar di dewan itu.

“Walaupun penat berdiri di tengah panas untuk membantu pendaftaran penerima vaksin dan aliran lalu lintas, sekurang-kurangnya saya sudah membantu usaha ke arah membasmi COVID-19,” katanya.

Dia bersyukur kerana penerima vaksin tidak banyak karenah dan mematuhi segala arahan diberikan sukarelawan MOVAK dan doktor, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1076
Kongsi :
Previous post Anak Melaka jagoan bola sepak dunia
Next post Bom tinggalan perang dunia kedua ditemukan di Bera
Ubah saiz-+=