Angkara kilang ayam, 2,000 penduduk di tiga kampung diserang lalat dan bau busuk

Masa Membaca:2 Minit, 51 Saat

MERLIMAU 27 Mei – Busuk dan meloyakan. Itu situasi ditanggung kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Ayer Merbau, Kampung Kongsai dan Lipat Kajang, di sini, yang terpaksa hidup dalam pencemaran bau, selain diserang ribuan lalat setiap hari berpunca daripada sisa ayam.

Pencemaran itu dikesan sekitar penghujung Ramadan lalu dan masih berlarutan hingga ke hari ini menyebabkan ramai penduduk yang mendakwa terpaksa hidup dengan menghidu bau busuk seperti di tapak pelupusan sampah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ayer Merbau, Zakaria Ab Hamid, 58 berkata, aduan demi aduan yang diterima membuatkan dia dan penduduk kampung cuba mencari jawapan di sebalik bau misteri itu.

ZAKARIA (kiri) dan Roslan menunjukkan kertas pelekat dipenuhi lalat yang diperoleh daripada rumah penduduk kampung.

Jelasnya, selepas beberapa siri intipan, akhirnya mereka menemui jawapan yang mana bau dan serangan lalat itu datang dari sebuah ladang sawit yang dipercayai dijadikan tempat membuang sisa ayam oleh sebuah kilang pemprosesan ayam terbesar di negeri ini.

“Ini bukan kali pertama berlaku seperti ini…, sekitar empat atau lima tahun lalu mereka juga pernah membuang baja ayam hingga menyebabkan berlakunya serangan lalat di kampung sekitar.

“Sejak dua minggu lalu, setiap hari kami penduduk di sini terpaksa menghidu bau busuk, dan keadaan benar-benar tidak selesa ditambah pula masalah lalat yang terlalu banyak berpunca dari pembuangan sisa ayam itu.

“Sepatutnya mereka (kilang) lebih peka, kerana kawasan ini berdekatan penempatan penduduk dan terdapat sekolah…sudah pasti kita kecewa dan harap tindakan penyelesaian dapat diambil segera,” katanya.

ROSLAN menunjukkan kesan sisa ayam yang dihurung lalat di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Ayer Merbau.

Penduduk Kampung Kongsai, Lim Kok Ann, 58, turut senada apabila menyifatkan dia dan keluarga seolah-olah tinggal dalam kurungan apabila perlu menutup pintu dan tingkap rumah setiap masa kerana tidak tahan dengan bau dan serangan lalat itu.

“Bayangkan hendak minum kopi pun susah kerana lalat selalu berenang di dalam air. Jangan sampai nanti ada penyakit lain datang barulah hendak buka mata.

“Saya rayu sangat agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dengan segera agar perkara ini tidak berulang di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Datuk Roslan Ahmad dalam lawatannya ke lokasi pembuangan sisa itu berkata, pihaknya memandang serius kesalahan yang dilakukan kilang ayam yang tidak cakna dengan persekitaran hingga memberi kesan kepada penduduk.

Perkara itu, ujarnya, tidak akan berlaku sekiranya kilang berkenaan menggunakan kaedah pelupusan sisa binatang ternakan yang betul dan bukan jalan pintas dengan menggali lubang di tanah milik anak syarikat mereka dan membuang anggaran 10 tan sisa tersebut tanpa ditimbus.

Justeru, tindakan tegas akan diambil termasuk membawa isu berkenaan ke pengetahuan Jabatan Veterinar bagi tindakan susulan, selain, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) juga telah mengeluarkan dua kompaun di bawah Akta 171 Seksyen 80 Kacau Ganggu bernilai RM1,000 setiap satu.

“Selain itu, kita juga meminta pihak kilang membayar ganti rugi kepada penduduk yang mengalami trauma iaitu dalam bentuk ubat atau wang bagi pencegahan lalat dan sebagainya.

“Kita juga meminta kesemua lubang yang ada kawasan ini ditutup sepenuhnya dan perlu disembur pembasmi bau atau Effective Microorganisme (EM) dengan kadar segera.

“Sekiranya pihak kilang tidak memberi kerjasama kita akan membawa perkara ini ke peringkat lebih tinggi. Kalau boleh kita mahu perkara ini diselesaikan dengan baik memandangkan wakil syarikat yang datang pada hari ini juga telah mengakui kesalahan dan berjanji menyelesaikannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1940
Kongsi :
Previous post Luahan abang ‘rider’
Next post Fenomena Istiwa A’dzam esok, jadi panduan arah kiblat
Ubah saiz-+=