Sorting by

×

Angkat berat: Empat rekod kebangsaan dipecahkan di Jasin

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

JASIN 18 Mac – Empat rekod baharu dicipta pada Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior yang berakhir hari ini di Dewan Alamanda Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di sini.

Pengerusi Pembangunan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah berkata, dua daripadanya diperolehi melalui atlet wanita Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Manakala dua lagi rekod baharu melalui atlet angkat berat Terengganu, Muhammad Syahir, 23, bagi kategori 102kg dalam acara snatch.

“Muhammad Syahir berjaya memecah rekod terdahulu apabila berjaya mengangkat 151kg acara snatch berbanding 150kg angkatan terdahulu.

“Dia berjaya mengangkat keseluruhan angkatan seberat 337kg sekali gus memenangi kategori tersebut.

“Satu lagi rekod baharu melalui atlet angkat berat wanita Perlis, Nur Aina kategori 87kg acara snatch 83kg,” katanya.

Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior yang berlangsung selama lima hari itu bermula Isnin menarik seramai 136 atlet angkat berat dari seluruh negara.

Kejohanan ini adalah yang kedua anjuran kerajaan negeri Melaka dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan Majlis Sukan Negara dengan menyediakan sebanyak 32 kategori pertandingan.

Kejohanan yang sama diadakan tahun lalu berlangsung di Ibu Pejabat Kontinjen Polis daerah Jasin.

Ahmad Janius yang juga Pengerusi bersama kejohanan itu berkata, dua rekod baharu yang turut dicapai pada kejohanan itu ialah dari kategori 64kg acara snatch menerusi atlet wanita ATM, Nurul Anis.

Katanya, Nurul Anis berjaya mengangkat 76kg pada acara itu berbanding 75kg angkatan terdahulu yang dipegang atlet Perlis, Farah Wahida.

Turut memperbaharui rekod baharu ialah atlet ATM, Nurul Farhanah, 24, dalam kategori 81kg melalui acara clean and jerk yang berjaya mengangkat 110kg sekali gus mengatasi rekod lama 98kg pada tiga tahun lalu.

Menurut Ahmad Janius, kejohanan itu antara kejohanan pemanas badan bagi acara angkat berat menjelang Sukan Malaysia SUKMA pada Julai nanti.

Ia juga katanya merupakan antara platform terbaik untuk mencari bakat-bakat baharu sukan angkat berat negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1532
Kongsi :
Previous post Warga Perancis antara tiga dikuatiri sesat di Cameron Highlands
Next post Annuar Musa akui pernah berbeza pendapat, tapi tetap setia kepada UMNO
Ubah saiz-+=