ANUGERAH SERI MELAKA BAKAL TAMBAH KATEGORI TAHUN DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 2 Ogos – Kerajaan Negeri bercadang menambah baik Anugerah Seri Melaka pada tahun depan dengan menambah lebih banyak kategori bagi memberi pengiktirafan kepada lebih ramai anak watan yang berjaya mencipta kejayaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penambahbaikan itu akan membolehkan anugerah itu diperluas dalam lebih banyak bidang termasuk sektor swasta, profesional serta individu yang berjaya mengharumkan nama Melaka dan Malaysia di peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, pada edisi sulung tahun ini Anugerah Seri Melaka telah memberi pengiktirafan kepada anak watan negeri dalam empat kategori utama iaitu Seni dan Budaya, Sukan, Perkhidmatan Awam serta Korporat.

“Insya-Allah, tahun depan kita akan tambah baik Anugerah Seri Melaka dengan memperluaskan lagi saringan dan menambah lebih banyak kategori supaya lebih ramai anak Melaka yang berjaya dalam pelbagai bidang dapat kita beri pengiktirafan.

“Kita mahu melihat lebih banyak kategori khususnya dalam bidang swasta dan profesional, termasuk mereka yang berjaya sebagai arkitek, tokoh pelbagai bidang serta individu yang mengharumkan nama Melaka di peringkat tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Malam Gala Anugerah Seri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, anugerah tersebut telah menerima lebih 200 pencalonan di mana proses saringan diadakan secara berperingkat bagi memilih figura terbaik untuk menerima pengiktirafan.

“Proses saringan bermula di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti peringkat Parlimen dan seterusnya di bawa ke peringkat negeri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, beberapa penerima Anugerah Seri Melaka juga akan menerima darjah kebesaran khas sempena sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

486
Kongsi :
Previous post ‘PERMATA’ MELAKA BERJAYA DISERU BUKA LEBIH BANYAK PELUANG UNTUK ANAK NEGERI