ANUGERAH SERI MELAKA JULANG JASA, UKIR LEGASI PERMATA NEGERI

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 3 Ogos – Buat julung kalinya, Kerajaan Negeri menganjurkan Anugerah Seri Melaka bertujuan untuk mengangkat legasi permata Melaka bagi diraikan di negeri kelahiran sendiri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, anugerah itu menghimpunkan tokoh, finalis dan anak negeri yang mencipta nama di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Jelas beliau, ia bukan sekadar sebuah anugerah, sebaliknya menjadi wadah manifestasi penghormatan kepada anak watan Melaka yang telah mengharumkan nama negeri melalui bakti, pencapaian dan sumbangan mereka.

“Majlis ini cukup istimewa kerana buat julung kalinya, Kerajaan Negeri menghimpunkan insan-insan hebat yang telah membawa nama Melaka merentas sempadan, menempa kejayaan dalam pelbagai bidang serta memberikan sumbangan yang cukup besar kepada masyarakat, negeri dan negara.

“Kita bukan hanya menyampaikan sebuah anugerah, tetapi kita meraikan jasa, kita mengangkat legasi dan kita memanggil pulang permata-permata Melaka untuk diraikan di tanah kelahiran mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Gala Anugerah Seri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Ketua Menteri berkata, meskipun julung kali dianjurkan, Kerajaan Negeri telah menerima lebih 200 pencalonan bagi empat kategori yang dipertandingkan iaitu Perkhidmatan Awam, Korporat, Sukan serta Seni dan Budaya.

Jelas beliau, di sebalik setiap pencalonan itu bukan sekadar nama, jawatan atau deretan pencapaian, malah ia turut membawa lebih 200 perjalanan hidup yang ditempa dengan kerja keras, pengorbanan, jatuh bangun dan keberanian untuk terus melangkah sehingga sampai ke tahap yang ada kini.

“Ada kisah insan yang mengabdikan sebahagian besar usia dalam perkhidmatan awam, bekerja tanpa mengira waktu dan memikul amanah besar agar setiap dasar dan perkhidmatan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Malah, ada kisah anak Melaka yang bermula hanya dengan sebuah impian, sebelum berjaya membina empayar perniagaan, meluaskan pasaran merentas sempadan serta membuka pintu rezeki kepada ribuan keluarga.

“Ada pula kisah anak seni yang membawa bakat dan karya mereka ke pentas lebih besar, menyentuh jiwa masyarakat serta meninggalkan hasil seni yang terus dikenang merentas generasi dan ada kisah atlet yang pernah jatuh dan tewas berkali-kali, tetapi tetap bangkit untuk berjuang demi memastikan panji Melaka berkibar megah di pentas tertinggi,” katanya.

Ujar beliau, meskipun perjalanan setiap anak jati ini berbeza, namun kesemuanya disatukan oleh satu akar yang sama iaitu merekalah anak-anak watan yang dilahirkan di bumi Melaka dan boleh menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak jati negeri yang lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

487
Kongsi :
Previous post ANAK JATI MASJID TANAH JULANG ANUGERAH SERI MELAKA