ANULAE gesa kerajaan tarik semula dua Pekeliling Perkhidmatan Tahun 2020

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

MELAKA, 28 Dis – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE), menggesa kerajaan menarik semula dua Pekeliling Perkhidmatan Tahun 2020 dan diganti dengan pekeliling baharu, selepas rundingan bersama Cuepacs dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilakukan.

Presiden ANULAE Datuk Azih Muda berkata, dua pekeliling itu ialah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2020 Dasar Hubungan Majikan-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam-Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2020 Dasar Hubungan Majikan-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam-Majlis Bersama Jabatan (MBJ).

Beliau berkata pekeliling itu telah dikeluarkan JPA baru-baru ini dan akan berkuatkuasa pada 1 Jan 2021 depan.

“ANULAE dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kecewa, kerana dua pekeliling ini tidak dirundingkan secara bersama dengan CUEPACS dan tiga MBK iaitu MBK Am, Sains dan Teknologi, serta Pengurusan dan Profesional.

“Kalau kita hendak mewujudkan kolaborasi yang baik antara majikan dan pekerja, sudah tentu kepimpinan kerajaan di bawah bumbung perkhidmatan awam mesti mengadaptasikan semangat perundingan bersama ini, dan kalau perundingan bersama ini tidak berlaku maka manfaatnya hanya pada satu pihak dan dalam isu ini manfaatnya hanya pada JPA sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan kali ke-27 ANULAE, yang dirasmikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara maya yang turut dihadiri Presiden CUEPACS Adnan Mat dan Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Melaka dan Negeri Sembilan Kamarul Izwan Osman, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azih berkata sebagai contoh di bawah pekeliling baharu itu, pegawai pinjaman bagi MBK Am, Sains dan Teknologi, serta Pengurusan dan Profesional, yang ditempatkan di bawah JPA akan dimansuhkan dan ia bertentangan dengan dasar ‘tripartite’ sekali gus budaya pengiktirafan juga tidak lagi berlaku.

Beliau berkata entiti di bawah JPA dilihat seolah-olah hendak menghapuskan CUEPACS, sedangkan ketiga-tiga MBK tersebut ditubuhkan hasil gabungan kesatuan sekerja.

“Ini adalah bertentangan dengan prinsip yang telah kita persetujui suatu masa dahulu, untuk memastikan keharmonian pekerjaan dalam industri termasuk sektor awam dipupuk melalui MBK dan MBJ,” katanya.

Sementara itu, Adnan berkata pelaksanaan pekeliling itu adalah sesuatu yang malang kepada kesatuan sekerja dan CUEPACS memohon Perdana Menteri campur tangan dalam isu berkenaan.

“Pada ketika kerajaan sibuk dengan pelbagai masalah kesan COVID-19, tetapi pegawai tinggi kerajaan telah merangka pekeliling untuk mengurangkan jalinan tripartite ini, sekali gus cuba mengekang kewujudan kesatuan sekerja, sedangkan kesatuan ini telah wujud sebelum merdeka dan ia telah diiktiraf kerajaan dan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Katanya CUEPACS menolak pelaksanaan dua pekeliling itu kerana dan ia perlu ditangguh sehingga perundingan ketiga-tiga MBP dan CUEPACS dilakukan, dengan kadar segera.- BERNAMA

Views:

448
Kongsi :
Previous post Tiada lagi kuarantin, 700 atlet bakal jalani latihan mulai 4 Januari
Next post CUEPACS mohon PM campur tangan
Ubah saiz-+=