CUEPACS mohon PM campur tangan

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 28 Dis – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memansuhkan pekeliling baharu membabitkan dasar hubungan majikan dan pekerja dalam perkhidmatan awam menerusi Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) dan Majlis Bersama Jabatan (MBJ).

Presiden CUEAPACS, Adnan Mat berkata, keputusan mengeluarkan pekeliling iaitu Pekeliling Perkhidmatan 6 Tahun 2020 dan Pekeliling Perkhidmatan 7 Tahun 2020 yang akan berkuatkuasa sepenuhnya pada 1 Januari tahun hadapan jelas bertentangan dengan prinsip rundingan triparti.

Menurutnya, rundingan triparti yang dilakukan JPA merujuk kepada perbincangan tanpa melibatkan badan induk itu selaku wakil pekerja dan tiga MBK lain iaitu MBK Pekerja-Pekerja Pengurusan dan Profesional (MBK P&P), MBK Pekerja-Pekerja Sains dan Teknologi Dalam Kumpulan Pelaksana (MBK S&T) serta MBK Pekerja-Pekerja Am Dalam Kumpulan Pelaksana (MBK AM).

Beliau berkata, situasi itu memberi gambaran bahawa jabatan kerajaan itu cuba menghapuskan peranan kesatuan pekerja sehingga boleh mencetuskan suasana atau hubungan tidak harmoni antara majikan dan pekerja.

“Kita dapat lihat pada ketika kerajaan sibuk menangani COVID-19 dan menguruskan bajet dan rakyat sibuk dengan masalah pandemik itu, tetapi pegawai tinggi kerajaan telah merangka satu pekeliling untuk mengurangkan jalinan triparti ini.

“Dengan tidak ada jaringan itu, sudah tentulah (JPA) cuba mengekang kewujudan kesatuan sekerja, sedangkan kesatuan ini diwujudkan sebelum merdeka dan diiktiraf oleh kerajaan malah diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Persidangan Perwakilan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja PBT Semenanjung Malaysia (ANULAE) ke-27 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden ANULAE, Datuk Azih Muda.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, berikutan itu CUEPACS memohon JPA menangguhkan perlaksanaan pekeliling berkenaan sehingga rundingan dilakukan bersama badan induk itu serta tiga ahli MBK tersebut.

“CUEPACS memohon Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri campur tangan dalam pelaksanaan pekeliling itu dan ia perlu dimansuh serta ditangguhkan sehingga rundingan bersama ketiga-tiga MBK dan CUEPACS dilakukan dalam kadar segera.

“Tarikh pertemuan bersama Perdana Menteri bagaimanapun sudah ditetapkan pada 22 November lalu namun ditangguhkan ke satu tarikh dalam tempoh terdekat berikutan keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu,” katanya.

 

Artikel berkaitan: ANULAE gesa kerajaan tarik semula dua Pekeliling Perkhidmatan Tahun 2020

Views:

729
Kongsi :
Previous post ANULAE gesa kerajaan tarik semula dua Pekeliling Perkhidmatan Tahun 2020
Next post APMM patahkan cubaan seludup ganja bernilai RM1.5 juta
Ubah saiz-+=