Asnaf antara dirai pada Jamuan Teh Rakyat bersama Agong

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KOTA LAKSAMANA 11 Jun – Golongan asnaf antara yang akan diraikan sempena Majlis Jamuan Teh Rakyat bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, di Dataran Pengkalan Rama, di sini, Jumaat ini.

Pada progam tersebut, seramai 500 asnaf dari Melaka Tengah dan 1,200 jemputan lain akan turut serta dalam jamuan yang berlangsung kira-kira jam 5.30 petang.

Sultan Ibrahim turut berkenan menyampaikan sumbangan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor kepada asnaf yang diraikan pada majlis tersebut.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh telah mengadakan lawatan tapak bagi meninjau persiapan jamuan berkenaan kira-kira jam 4 petang tadi.

Lawatan tapak itu turut disertai Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman serta tetamu lain.

Ab Rauf bersama kepimpinan Kerajaan negeri meluangkan masa kira-kira satu jam untuk meninjau dan memastikan persiapan jamuan berkenaan berjalan lancar.

Malah, Ketua Menteri turut meminta beberapa penambahbaikan dilakukan oleh agensi dan jabatan terlibat.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati persiapan majlis berkenaan telah hampir 70 peratus siap iaitu meliputi pemasangan khemah jamuan dan pentas utama.

Difahamkan, Jamuan Diraja itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan daripada beberapa buah sekolah di negeri ini, selain Briged Seni Melaka dan Kombo MBMB.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

266
Kongsi :
Previous post Lapan mangsa nahas bas masih dirawat di hospital
Next post Pameran Hang Tuah sangat berbaloi – Pengunjung
Ubah saiz-+=