Asnaf terima mahligai baharu menjelang Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

GADEK 19 Mac – “Alhamdulillah dapat juga kami sekeluarga menikmati lebaran nanti dengan syurga baharu ini, saya rasa sangat seronok umpama macam naik haji.”

Demikian luahan seorang penerima rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Nasiron Tandir, 58 yang dapat meraikan Aidilfitri lebih bermakna di kediaman baharunya di Kampung Padang Sebang, di sini.

Luah Nasiron, syurga baharu yang diterimanya itu adalah rezeki yang tidak disangka selepas hampir 10 tahun tidak putus asa membuat permohonan untuk mendapatkan sebuah teratak berteduh yang lebih selesa untuk isteri dan anak-anaknya.

Dia yang merupakan seorang peniaga roti canai berkata, sebelum ini dia dan keluarga terpaksa menumpang di rumah kakaknya selama beberapa tahun demi membesarkan tiga orang anak.

“Saya memang tidak mampu nak beli rumah sendiri sebab memang tak cukup modal nak bina rumah walaupun saya ada tanah sendiri.

“Kerja berapa lama pun saya memang tak mampu tunaikan kalau nak bina pondok itu insya-Allah saya mampu. Tapi demi keselesaan keluarga kami berharap untuk memiliki sebuah rumah yang selesa.

“Apa pun saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya Kerajaan Negeri dan Persekutuan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang bertungkus-lumus menyegerakan permohonan ini sehingga siap dibina di kampung saya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Majlis Penyerahan Rumah PPRT dan Sumbangan Asnaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek merangkap Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Pejabat KKDW Melaka, Mohd Faizal Musa serta barisan kepimpinan akar umbi di kawasan berkenaan.

Selain sebuah rumah tiga bilik yang lebih selesa, Nasiron dan keluarga turut menerima sumbangan kelengkapan asas bernilai RM66,000 menerusi sumbangan KKDW dan Pejabat Giatmara Melaka.

Selain itu, keluarga itu turut menerima sumbangan kebajikan serta bantuan keperluan dapur daripada MAIM.

Menurut Nasiron, selama 10 tahun dia berusaha membuat permohonan untuk mendapatkan sumbangan rumah PPRT.

Berkat usaha kerasnya, dia dibantu oleh wakil rakyat dan kepimpinan di Padang Sebang sehingga akhirnya menerima khabar gembira bahawa permohonannya diluluskan tahun lalu.

“Alhamdulillah, sudah banyak permohonan saya lakukan sebelum ini dan yang terakhir adalah pada dua tahun lalu.

“Selepas setahun saya diberi khabar gembira di bawah kerjasama semua kepimpinan akar umbi dan agensi terlibat yang bersama-sama merealisasikan hasrat saya dan keluarga memiliki teratak ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

887
Kongsi :
Previous post Pau ‘comel’ pikat pengunjung bazar
Next post Dataran MBMB ‘port’ santai berbuka puasa
Ubah saiz-+=