Pau ‘comel’ pikat pengunjung bazar

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

LENDU 19 Mac – Ada yang berbentuk seperti ayam panggang, karakter kartun serta pelbagai lagi namun hakikatnya itu adalah kuih pau yang menjadi antara tarikan pengunjung yang datang ke Bazar Ramadan Masjid Tanah.

Inovasi mencipta pau yang diolah kepada pelbagai tekstur berbentuk sayur-sayuran dan karakter adiwira menjadi kesinambungan kepada populariti pau cendawan yang pernah tular sebelum ini.

Peniaga, Shafee Ismail, 41 berkata, lebih 11 jenis pau dijual di gerainya berjaya mencuri perhatian pelanggan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

“Ada pau yang dibuat berbentuk ayam panggang, jagung, cendawan, cili merah di mana ia berperisa seperti cendawan carbonara, sambal ikan bilis, serta pelbagai lagi.

“Manakala, bagi perisa coklat kami olahkan kepada pelbagai karakter adiwira terkenal bagi menarik pelanggan terutama kanak-kanak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Img 20240318 195116 620
DADIH asli resipi keluarga yang diusahakan sejak 22 tahun lalu. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Menurut Shafee, pau unik dan ‘comel’ itu adalah sebahagian daripada usahanya untuk mempelbagaikan produk jualan di bazar, di mana sebelum ini dia hanya menjual dadih pelbagai perisa yang diusahakan keluarga hampir 22 tahun lalu.

“Sebenarnya, saya bermula menjual dadih diusahakan arwah bapa mentua saya tapi kali ini saya ambil pendekatan untuk menambah variasi jualan agar mampu menambah pendapatan sampingan di gerai ini.

“Alhamdulillah ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung bazar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1085
Kongsi :
Previous post Perubahan ‘Dak Nor’ semakin positif – Adun Duyong
Next post Asnaf terima mahligai baharu menjelang Aidilfitri
Ubah saiz-+=