Perubahan ‘Dak Nor’ semakin positif – Adun Duyong

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

PENGKALAN BATU 19 Mac – Siapa sangka individu bergelar asnaf dan merupakan pesakit mental mampu keluar dari kepompong kesusahan hidup dan kini tampil membantu insan lain yang memerlukan.

Itulah yang berjaya ditunjukkan Nor Kamariah Mohd Khalid Lourdes Lio, 40 atau lebih dikenali sebagai ‘Dak Nor’ di platform TikTok.

Menurut Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem sebagai antara individu yang berkongsi kisah Dak Nor di platform media sosial, beliau mengakui bangga dengan perubahan berkenaan yang disifatkan cukup positif.

Walaupun dikaitkan sebagai figura yang berjaya mengubah hidup wanita itu, namun Mohd Noor Helmy enggan mengambil kredit, sebaliknya menyifatkan apa yang dilakukan hanyalah sebagai pembuka jalan dan memberi semangat baharu kerana selebihnya ada lebih ramai insan mulia lain turut bersama membantu perkembangan positif Dak Nor.

Katanya lagi, ketika dimaklumkan hasrat Dak Nor untuk membantu adik Nur Khayla Azzahra Mohamed Khairul Idhham, 19 bulan yang menghidap penyakit kegagalan fungsi hati atau Biliary Atresia (BA) sejak lahir, beliau pada mulanya agak terkejut.

“Pada awalnya saya rasa agak terkejut juga namun tidak pula berasa pelik, iyalah dalam keadaan dia sebegitu (pesakit mental dan asnaf) namun dia ada niat untuk membantu orang lain. Baguslah. Saya menyokong dan menasihati apa yang patut.

“Kita yang normal ni bagaimana pula? takkan kita tidak membantu langsung? Dak Nor juga maklum untuk saya turut serta dan mengatur penyerahan sumbangan kepada adik Khayla.

“Sebenarnya saya jarang mahu masuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN) wakil rakyat lain, tapi apabila ibu adik Khayla, Noreen Ismail memaklumkan situasi terkini dan katanya pula memang memerlukan bantuan, saya berasa terpanggil untuk membantu,” katanya kepada pemberita selepas sesi penyampaian sumbangan di kediaman keluarga adik Nur Khayla, di sini, semalam.

Mohd Noor Helmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong berkata, selain sumbangan individu perseorangan, Kerajaan Negeri akan turut bersama membantu kos pembedahan adik Nur Khayla di China nanti.

“Saya dimaklumkan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama beberapa agensi Kerajaan Negeri akan membantu menyalurkan sumbangan untuk pembedahan pemindahan hati adik Khayla.

“Cuma saya khuatir, jumlah itu masih tidak mencukupi, jadi, di sini saya juga berharap ada insan pemurah yang dapat menyalurkan sumbangan untuk menggenapkan jumlah RM250,000 yang diperlukan pembedahan itu nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

980
Kongsi :
Previous post ‘Dalam rezeki Nor, ada rezeki orang lain’
Next post Pau ‘comel’ pikat pengunjung bazar
Ubah saiz-+=