Atlet, jurulatih Melaka terima insentif RM334,350

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 11 Jun – Kerajaan Negeri memperuntukkan insentif berjumlah RM334,350 untuk atlet serta jurulatih Melaka yang meraih pingat pada tiga kejohanan sukan yang berlangsung tahun lalu dan tahun ini.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam berkata insentif itu diberikan bagi atlet Melaka yang meraih kejayaan di Sukan Sea Ke-32 Kemboja 2023, Para Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 MSN dan Deaflympics 2022, Brazil.

Selain itu, katanya, insentif turut diberikan kepada jurulatih yang cemerlang membantu kem sukan Melaka pada temasya SUKMA Ke-20 MSN 2022.

“Pada SUKMA Ke-20 yang lalu Melaka menyertai 32 jenis sukan melibatkan seramai 469 atlet, 91 jurulatih, 37 pengurus pasukan dan chaperon serta 63 pegawai dan Melaka memperoleh 17 emas, 11 perak dan 23 gangsa dengan jumlah pungutan sebanyak 51 pingat menerusi 12 jenis sukan.

“Para SUKMA pula kita menghantar seramai 106 kontinjen terdiri daripada 64 atlet dan 42 pegawai dan telah meraih sembilan pingat emas, 19 perak dan 12 gangsa.

“Manakala, pada Sukan Sea Kemboja baru-baru ini, seramai 14 atlet Melaka telah meraih pingat iaitu empat emas, lima perak dan lima gangsa membabitkan sukan badminton, e-sports, hoki, pencak silat, sepak takraw serta wushu yang mana mereka telah menerima insentif terbesar berjumlah RM127,000.

“Kerajaan Negeri turut meraikan kejayaan atlet tunggal Melaka yang mewakili negara dalam Kejohanan Deaflympics Brazil, Boon Wei Ying yang merai satu emas, satu perak dan satu gangsa dengan nilai insentif berjumlah RM60,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan SEA Ke-32 Kemboja 2023 Insentif Atlet Para SUKMA Ke-20 MSN 2022, Insentif Jurulatih SUKMA Ke-20 MSN 2022 dan Insentif Atlet Deaflympics 2022, Brazil di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang mewakili Ketua Menteri; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka Khairul Adri Rosli.

Dalam pada itu, Shanmugam mencadangkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat memperuntukkan sedikit perbelanjaan untuk setiap jurulatih atlet di Melaka.

“Di Melaka saya cadangkan semua GLC menangung sedikit kos untuk semua jurulatih yang menjadi bapa angkat atlet.

“Ini memandangkan di Melaka latihan setiap atlet terlibat tidak pernah terhenti, setiap minggu ada latihan untuk pastikan atlet yang bertanding dapat membuat persediaan lebih awal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1282
Kongsi :
Previous post Melaka lokasi penganjuran Hari Puisi Malaysia
Next post ‘Jurassic World’ di Ayer Keroh
Ubah saiz-+=