Melaka lokasi penganjuran Hari Puisi Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 11 Jun – Melaka terpilih sebagai negeri pertama menjadi lokasi penganjuran Hari Puisi Malaysia (HPM) Ke-3 yang akan berlangsung pada Selasa ini (13 Jun).

Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, selepas dua kali dianjurkan di ibu negara, HPM kali ketiga bertemakan Puisi Insani, Melestari Malaysia Madani akan berlangsung di Auditorium Tun Seri Lanang, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Ayer Keroh, Melaka.

Beliau berkata, sejajar dengan konsep PEMUISI untuk Memasyarakatkan Puisi, persatuan memutuskan untuk mengadakan HPM setiap tahun di setiap negeri secara bergilir-gilir.

“Kami memilih Melaka sebagai destinasi pertama kerana selain daripada statusnya sebagai negeri bersejarah, kami mempunyai rangkaian penggerak yang akan meneruskan gerakan madani ini pada masa hadapan.

“Langkah membawa HPM keluar dari ibu negara akan diteruskan dengan gerakan gagasan melestarikan madani sebagai satu proses mengubah dan mengajak masyarakat memahami persembahan puisi dalam kehidupan,” katanya.

Menurut beliau, HPM Ke-3 sudah bermula sejak awal bulan ini dengan pertandingan mencipta puisi dan video membaca puisi yang disiarkan di media sosial.

“Keputusan bagi pertandingan dan penyampaian hadiah turut dijadualkan diadakan di Melaka nanti.

“Bertempat di Auditorium Tun Seri Lanang, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, program yang dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1911
Kongsi :
Previous post UTeM jalin kerjasama strategik bersama WBA
Next post Atlet, jurulatih Melaka terima insentif RM334,350
Ubah saiz-+=