UTeM jalin kerjasama strategik bersama WBA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 11 Jun – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjalin kerjasama strategik bersama dengan World Business Affairs Sdn. Bhd. menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoU), baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Dr. Ts. Massila berkata, antara objektif MoU berkenaan adalah memantapkan pembangunan kemahiran tenaga kerja dalam negara dan penyediaan program pensijilan berkaitan.

Jelasnya, UTeM dan WBA bersetuju bekerjasama dalam pembangunan kemahiran dan pensijilan dengan menyediakan program ‘upskilling’ yang relevan dengan keperluan industri.

Ujarnya, peningkatan kemahiran menjadi kunci untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan pada masa kini, justeru kerjasama ini dapat membuka akses kepada lebih ramai individu untuk memperoleh kemahiran baru, sekali gus memperluas peluang pekerjaan.

“Menerusi kerjasama strategik ini UTeM dan WBA menjadi wakil tunggal NIIT di Malaysia. NIIT merupakan syarikat latihan dan pembangunan kemahiran global diiktiraf dunia dalam pengembangan kurikulum, penyediaan sesi latihan dan penilaian kemahiran.

“Sehubungan itu, segenap pelaksanaan aktiviti-aktiviti latihan kepakaran yang akan dilaksanakan di UTeM nanti adalah mendapat pengiktirafan daripada pihak NIIT.

“Lebih menarik, kerjasama ini turut membuka ruang dan peluang kepada staf UTeM untuk menawarkan kepakaran mereka melalui perkhidmatan rundingan kepada pihak-pihak yang memerlukan di samping menjana pendapatan tambahan bagi universiti,” katanya menerusi satu kenyataan.

Pada majlis menandatangani MoU tersebut UTeM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Zulkifile Ibrahim manakala WBA pula diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Hadir sama pada majlis itu Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Sanusi Azmi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1659
Kongsi :
Previous post Mayat bayi ditemukan terapung di perkampungan atas air di Kota Kinabalu
Next post Melaka lokasi penganjuran Hari Puisi Malaysia
Ubah saiz-+=