Aura juara ‘Jang’ bikin MUFC hati-hati

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) tidak sesekali mengambil mudah ancaman Negeri Sembilan FC menjelang pertemuan pertama kempen Piala Malaysia 2021 kumpulan C di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Pengurus pasukan, Muhammad Akram Abdullah berkata, ia berikutan lawan yang terkenal dengan jolokan ‘Jang’ itu baharu sahaja mendapat tonik berharga apabila dinobat juara Liga Premier musim 2021.

Menurutnya, walaupun memperoleh kelebihan beraksi di laman sendiri, skuad Hang Tuah perlu mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengelakkan berputih mata.

“Sudah tentu kita mahukan tiga mata penuh dalam aksi di laman sendiri. Ia penting untuk membakar semangat pasukan bagi membolehkan kita mara lebih jauh dalam saingan kali ini.

“Tetapi saya sentiasa ingatkan pemain agar tidak mengambil mudah kekuatan lawan yang baharu sahaja menjulang piala pertama mereka selepas sembilan tahun.

“Apapun, saya yakin pemain kini sedang mengumpul kekuatan bagi membolehkan kita bermula dengan langkah kanan dalam saingan kali ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Nada sama turut dizahirkan kapten pasukan, Khairul Fahmi Che Mat yang menganggap Negeri Sembilan bukan calang-calang pasukan yang boleh dipandang enteng.

“Bila mereka sudah mendakap trofi juara, maknanya mereka ada sesuatu. Jadi kita tidak boleh pandang rendah.

“Apapun, saya percaya persiapan pasukan menerusi sesi latihan berjalan dengan lancar dan Insya-Allah kita mampu melakukan sesuatu untuk mencipta kejayaan malam esok,” katanya dalam sidang media secara dalam talian bersama pemberita semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

746
Kongsi :
Previous post Mulianya hati ‘Abang Aji Runner MT’…
Next post Lebih 30 peratus murid divaksinasi setakat semalam
Ubah saiz-+=