‘Badang’ Melaka tuai dua emas kebangsaan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 31 Mei – Atlet angkat berat terus mengharumkan nama Negeri Melaka apabila merangkul dua pingat emas pada Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior Kebangsaan 2023, kelmarin.

Kejohanan yang diadakan di Dewan Utama Kompleks MSN Kuala Rompin, Pahang bermula 27 Mei lalu itu menyaksikan Zairul Izzat Ab Rashid, 15 dan Muhammad Izzul Hakimi Sharul Hisam, 16 membawa pulang pingat emas dalam kategori Youth 67kg Lelaki dan Youth 73kg Lelaki.

Menurut Presiden Kelab Angkat Berat Nyalas Imran Lamin, kedua-dua mereka merupakan pelajar Sekolah Sukan Negeri (SSN) Seri Kota yang membawa nama Melaka di peringkat kebangsaan.

Katanya, secara keseluruhan, lapan atlet Melaka dihantar pada kejohanan itu membabitkan dua atlet junior dari Sekolah Henry Gurney dan enam atlet ‘youth’ berusia 14-16 tahun dari SSN Seri Kota.

“Izzul Hakimi yang juga atlet SUKMA (Sukan Malaysia) Melaka menepati ramalan untuk meraih emas dengan angkatan Snatch 80 kilogram (kg) dan Clean & Jerk 101kg.

“Manakala Zairul Izzat, pelajar Tingkatan Tiga membuat penampilan sulung di peringkat kebangsaan dan alhamdulillah dia menunjukkan potensi besar dan kecemerlangan dengan pingat emas menerusi angkatan Snatch 71kg serta Clean & Jerk: 95kg,” katanya.

Menurut Imran, selain emas, atlet Melaka turut meraih satu perak menerusi Muhammad Daniel Yaakob (kategori Youth 61kg lelaki) dan dua gangsa oleh Muhammad Haziq Ismail dan Muhammad Rafik Asraaf Fauzi masing-masing dalam kategori Youth 73kg dan Junior 55kg.

“Harapan kita untuk melihat atlet harapan Melaka yang juga pemenang angkat berat SUKMA 2022 Nurul Syasya Khairina Syamsur meraih pingat emas pada kejohanan itu tidak kesampaian apabila dia terpaksa menarik diri atas faktor kesihatan.

“Bagaimanapun, Nurul Syasya yang merupakan prospek harapan negara tetap menerima berita gembira apabila dikhabarkan dia akan diserap ke Sekolah Sukan Bukit Jalil tahun depan,” katanya.

Menurut Imran, selepas kejohanan kebangsaan di Rompin, atlet-atlet Melaka dijangka akan menyertai dua lagi kejohanan angkat berat iaitu kejohanan bakat anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) pada Jun dan kejohanan anjuran sekolah sukan Thailand yang dijangka pada Julai depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1859
Kongsi :
Previous post Norshafiqha sertai skuad kebangsaan, idam kemenangan Piala Remaja Asia
Next post MAIM perkukuh kerjasama dengan NGO saudara muslim
Ubah saiz-+=