MAIM perkukuh kerjasama dengan NGO saudara muslim

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

MELAKA 31 Mei – Saudara muslim di negeri ini merupakan antara tumpuan utama Bahagian Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dalam memastikan akidah Islam mereka terjaga dan diamal sentiasa.

Peranan bahagian berkenaan menjadi tunjang kepada pengukuhan iman saudara Muslim yang masih tercari-cari rentak dalam membentuk diri mereka menjadi Islam sejati.

Kehidupan mereka yang lalu merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi mereka dalam memupuk jiwa kerohanian mengenali Islam dengan lebih dekat serta belajar untuk memastikan aliran kehidupan seharian perlu berlandaskan syariat.

Justeru menjadi tanggungjawab dan amanah kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Saudara Muslim membantu MAIM dalam menghadapi pelbagai cabaran mendatang.

Kerangka peranan NGO Islam ini adalah sangat penting kepada negara dan ummah dalam memperlihatkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan mereka dalam pelbagai aspek termasuk memacu pembangunan ummah.

NGO Saudara Muslim ini juga mampu membentuk kekuatan yang jitu kepada gerakan dakwah di negara ini apatah lagi jika ia dirangka, disusun dan dilaksanakan dengan secara tersusun dan sistematik.

Bukan sahaja memastikan akidah saudara muslim ini dijaga, NGO Saudara Muslim ini telah memainkan peranan yang besar dalam kalangan masyarakat dengan adanya program dakwah sama ada secara terus atau maya.

Sentiasa memantau dan mendengar keluh resah mereka yang mana masih terdapat dalam kalangan saudara Muslim ini mempunyai kesukaran dalam hidup lebih-lebih lagi pemantapan akidah mereka menurut pegangan ahli sunnah wal jamaah.

Kebajikan dan pendidikan anak-anak saudara Muslim turut diberi perhatian kerana mereka merupakan amanah yang dianugerah dan pastinya masa depan yang lebih baik menjadi sandaran keluarga mereka.

Sudah tentu Balai Islam MAIM merupakan institusi yang dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan amanah saudara Muslim yang inginkan kehidupan penuh keimanan dan menjadi muslim yang taat dengan al-Quran dan hadis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1170
Kongsi :
Previous post ‘Badang’ Melaka tuai dua emas kebangsaan
Next post Jaga kebersihan, elak dikompaun – MBMB
Ubah saiz-+=