Baja, gula RM4.5 juta disimpan dalam gudang tak berlesen

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BUKIT RAMBAI 6 Oktober – Sejumlah 200 tan baja bersubsidi dan 300 tan gula pasir yang kesemuanya berjumlah kira-kira RM4.5 juta dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, dalam serbuan di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, hari ini.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata, kesemua barangan itu dirampas dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi tadi, hasil risikan selama seminggu dijalankan pihaknya keatas premis terbabit.

Beliau berkata, aktiviti mencurigai premis itu dikesan pihaknya ketika melakukan rondaan sebelum dijalankan risikan bagi mengesan kegiatan yang dijalankan.

“Susulan itu serbuan dilakukan sepasukan penguatkuasa keatas gudang terbabit dan mendapati ianya tidak memiliki sebarang lesen mahupun permit bagi penyimpanan barangan kawalan atau subsidi oleh pihak kerajaan.

“Pemeriksaan lanjut menemui 300 tan gula pasir rosak bernilai RM885,000 dan baja bersubsidi sebanyak 200 tan berjumlah RM3.3 juta,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya percaya premis itu beroperasi lebih sebulan meskipun struktur bangunannya kelihatan baharu.

“Siasatan dijalankan mendapati pemiliknya berusia 60-an mempunyai lesen namun ianya bagi premis di lokasi lain selain siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan sekiranya sebelum ini pernah melakukan kesalahan.

“Turut ditahan dua lelaki warga asing dipercayai penjaga premis berusia antara 25 hingga 30-an selain rakaman percakapan juga akan diteruskan,” katanya.

photo1665045748 (1)
NORENA

Menurut Norena, daripada pengakuan awal diambil, baja terbabit dikatakan untuk kegunaan sendiri.

“Malah bekalan gula pasir yang rosak pula dipercayai dibeli daripada pihak tertentu seperti yang terkesan dengan banjir untuk kegunaan industri contohnya gula merah.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1981 dan Perkara 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2720
Kongsi :
Previous post ‘Merlimau Coworking Space’ percuma bakal dibangunkan
Next post Festival angkat seni warisan Melayu Melaka- Exco
Ubah saiz-+=