Bajet 2022: Tingkat akses golongan OKU terhadap media, semua TV sediakan jurubahasa isyarat

Masa Membaca:54 Saat

KUALA LUMPUR 29 Okt (Bernama) – Bagi meningkatkan akses golongan Orang Kurang Upaya dalam industri media, semua rangkaian televisyen termasuk swasta akan menyediakan khidmat jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata inisiatif dengan bantuan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ini membolehkan golongan OKU cakna dengan berita semasa dan informasi terkini.

“Mungkin tidak ramai yang mengenali gerangan Tan Lee Bee, Khairunnisa Kho Abdullah, Wan Zuraidah Abu dan Goh Soo Leng. Merekalah sebenarnya yang berjasa sebagai jurubahasa isyarat yang sering kita lihat di sudut kaca televisyen,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2022 yang bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera di Dewan Rakyat hari ini.

Sejak awal tahun ini, saluran berita 24 jam Bernama TV menjadi stesen penyiaran televisyen kedua di negara ini menggunakan perkhidmatan jurubahasa isyarat dalam siaran berita.

Bermula 4 Jan lepas, siaran Buletin Bernama turut dilengkapi dengan jurubahasa isyarat, dan Bernama TV yang mula dilancarkan sejak 2008 menjadi stesen penyiaran pertama di negara ini menggunakan perkhidmatan jurubahasa isyarat bagi siaran berita sukan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

425
Kongsi :
Previous post Bajet 2022: JaminKerja sedia 600,000 peluang pekerjaan
Next post Mahkamah Tinggi tolak rayuan model pandu lawan arus sebabkan kematian
Ubah saiz-+=