Sorting by

×

Bajet 2023: MITI fokus bantu jenama Malaysia tembusi pasaran antarabangsa

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KLEBANG 7 September – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) komited untuk memacu pertumbuhan jenama Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Timbalan Menterinya, Senator Datuk Lim Ban Hong berkata, untuk merealisasikan hasrat itu, bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu diperkasakan, selain menjadi antara fokus utama menjelang pembentangan Bajet 2023 pada Oktober depan.

Selain itu katanya, usaha menggalakkan perdagangan terutama dari segi pasaran eksport juga akan diberi keutamaan bagi membantu PKS bersaing membawa jenama Malaysia dalam meneroka pasaran baharu.

“Kita percaya dengan penambahan produk-produk jenama Malaysia dibawa ke pasaran antarabangsa ia bukan sahaja membantu menambah pendapatan PKS, bahkan dapat menambah peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Kompleks Japerun Klebang, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ban Hong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang berkata, tumpuan negara juga terarah kepada membawa lebih banyak pelaburan berkualiti dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat.

Selain itu, Bajet 2023 ini juga diharap dapat membantu proses transformasi perusahaan tempatan ke arah automasi dan Revolusi Industri 4.0 yang bakal membantu industri tempatan berkembang mengikut arus semasa.

“Kita juga akan menekankan elemen berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam membantu perusahan di negara ini bergerak lebih maju ke depan.

“ESG merupakan trend atau hala tuju terbaharu bagi setiap perusahaan di dunia yang mana ia tidak bersandarkan kepada keuntungan semata-mata, bahkan menjaga aspek kebajikan tenaga kerja, alam sekitar dan tadbir urus terbaik.

“Ini kerana produk yang dihasil berteraskan elemen ESG ini akan dipandang tinggi dan seterusnya membantu perusahaan tempatan masuk ke rantaian global sedunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1959
Kongsi :
Previous post Warga emas digesa ambil suntikan vaksin Influenza
Next post Suami isteri ditahan bersama ganja hampir 20kg
Ubah saiz-+=