Bajet Melaka 2024: Produk baharu pelancongan rancakkan TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 7 Disember – Memperkasakan produk pelancongan baharu merupakan antara nilai tambah untuk Kerajaan Negeri dalam memacu sasaran kemasukan lebih 18.7 juta pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka, Goh Hock Gin berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri dalam memperkenal dan menambah baik produk-produk baharu pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, pihaknya akan terus bekerjasama bagi membantu mempromosikan produk baharu pelancongan di Melaka khususnya dalam sektor ekopelancongan.

“Kami akan turut bersama-sama mempromosikan produk ekopelancongan seperti di Pusat Ekopelancongan Paya Lebar, tarikan belon udara panas dan pelbagai lagi produk baharu pelancongan di Melaka dalam usaha merancakkan dan menggamit pelancong datang ke negeri ini sempena TMM2024.

“Kita harap usaha mempromosi dan langkah pemasaran berterusan dapat dilaksanakan semua pihak bagi memastikan produk-produk baharu ini mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan luar negara datang ke negeri ini.

“Lebih-lebih lagi dengan usaha Kerajaan Pusat yang memberi pengecualian visa 30 hari buat pelancong dari China dan India menjadi nilai tambah kepada usaha memastikan sambutan TMM2024 diperkasa dan ini sebagai langkah awal kerajaan mempromosi sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1209
Kongsi :
Previous post Maut dirempuh motosikal, dua kereta
Next post 8 pelajar Australia berkampung di Melaka teroka budaya tempatan
Ubah saiz-+=