Bakar seluar tarik perhatian

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

SUNGAI RAMBAI 24 Nov. – “Malam tadi, angin amat kuat dan ketika itu kami hanya berserah kepada Allah agar menyelamatkan bot dari hanyut lebih jauh.

“Malah, saya cuba ikhtiar dengan memotong separuh sebelum membakarnya untuk menarik perhatian orang namun hampa,”.

Demikian kata Johari Jalil, 42, menceritakan semula detik cemas dihadapinya bersama rakan, Khairul Azmi Mohd. Adnan, 37, yang ditemui selamat selepas lebih 15 jam hanyut akibat enjin bot dinaiki mengalami kerosakan di perairan Sebatu, Sungai Rambai, di sini petang semalam.

Menurut Johari, dia dan Khairul Azmi keluar menangkap kupang sejak jam 3 petang semalam sebelum bersedia untuk pulang ke jeti kira-kira tiga jam kemudian.

“Bagaimanapun pada pukul 6 petang, tiba-tiba enjin bot gagal dihidupkan menyebabkan bot kami dihanyutkan semula ke tengah laut. Waktu itu, hari sudah lewat petang dan kami tidak membawa sebarang makanan kerana hanya bercadang ke laut untuk tiga jam.

“Kebetulan pula, kedua-dua telefon kami kehabisan bateri menyebabkan saya terpaksa membakar sebahagian seluar untuk menarik perhatian. Selepas usaha itu tidak berjaya, kami hanya mampu berdoa dijauhkan dari musibah sehingga hari cerah,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Sementara itu Khairul Azmi berkata, dia pernah melalui pengalaman sama sebelum ini namun perisitiwa semalam lebih getir kerana kedudukan ditengah laut yang jauh dari daratan.

“Sebelum ini bot saya pernah tenggelam tetapi tidak jauh dari darat dan masih mampu berenang menyelamatkan diri, tapi semalam kalau berlaku sesuatu yang buruk agak mustahil untuk kami berenang kerana kedudukannya yang sangat jauh dari daratan.

“Mujurlah semalam tidak hujan sepanjang 15 jam kami tersadai, cuma angin yang sangat kuat seperti ribut dalam tempoh beberapa jam sebelum ia mulai perlahan,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd. Faisal Fuad dalam pada itu berkata, seramai sembilan anggota bersama agensi lain digerakkan untuk mencari kedua-dua mangsa sebaik laporan diterima.

“Kedua-dua mereka ditemukan selamat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan kira-kira enam kilometer dari kawasan darat dan dibawa balik ke Jeti Sungai Rambai oleh pasukan bomba sambil dibantu nelayan tempatan kira-kira jam 9.30 pagi ini,” katanya.

Views:

597
Kongsi :
Previous post Inisiatif kerajaan dijangka dapat jana semula ekonomi
Next post Projek baik pulik Jambatan Bemban dilaksana Januari 2021
Ubah saiz-+=