Inisiatif kerajaan dijangka dapat jana semula ekonomi

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PUTRAJAYA, 24 Nov – Menyifatkan 2020 tahun yang mencabar, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata pengumuman pelbagai inisiatif oleh kerajaan dan pelaksanaan yang proaktif akan menjana enjin dan menggerak roda ekonomi negara untuk memecut dengan lebih laju dan pesat.

Inisiatif tersebut adalah seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin) yang berjumlah RM305 bilion serta Belanjawan 2021, katanya.

Menurutnya, antara tanda pemulihan adalah apabila kadar pengangguran menunjukkan penurunan daripada 5.1 peratus pada suku kedua kepada 4.7 peratus di suku ketiga, selain Indeks Harga Pengguna yang mula menyaksikan tanda-tanda penambahbaikan.

Mohd Zuki berkata 2020 merupakan tahun yang cukup mencabar apabila negara diuji dengan penularan pandemik COVID-19, selain berdepan dengan krisis politik serta cabaran untuk memulihkan semula ekonomi yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa dilakukan demi mencegah penularan COVID-19.

Dalam ucapan perasmiannya sempena Persidangan Cukai Kebangsaan 2020 dan Seminar Belanjawan 2021 secara dalam talian hari ini, Mohd Zuki berkata Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Asian Development Bank (ADB) menjangkakan ekonomi negara pada 2021 akan tumbuh dengan lebih baik iaitu masing-masing pada kadar 6.9 peratus, 7.8 peratus dan 6.5 peratus.

Katanya ketika pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lepas, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dianggarkan bernilai RM1,451 trilion dengan kadar pertumbuhan sebanyak 7.0 peratus.

“Hasil negara dianggarkan sejumlah RM237 bilion dan kutipan cukai langsung dan cukai tidak langsung dijangka meningkat berjumlah RM21 bilion berbanding kutipan cukai pada 2020.

“Hasil cukai merupakan hasil yang amat penting kepada negara iaitu hampir 74 peratus daripada hasil negara datangnya daripada cukai,” katanya.-BERNAMA

Views:

252
Kongsi :
Previous post Perkembangan semasa banjir daerah Alor Gajah setakat jam 12 tengah hari
Next post Bakar seluar tarik perhatian
Ubah saiz-+=