Banduan dari penjara Negeri Sembilan cetus kluster baharu

0
764
GAMBAR Hiasan

SUNGAI UDANG 22 Jun – Kemasukan banduan daripada sebuah penjara di Negeri Sembilan mencetuskan kluster baharu di Penjara Sungai Udang sekali gus mengakibatkan Perintah Kawalan Pergerakan Dilaksanakan (PKPD) dikuatkuasakan di kawasan itu bermula esok hingga 6 Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah dimaklumkan oleh Penjara Sungai Udang terdapat kes positif selepas 172 banduan dipindahkan dari penjara Negeri Sembilan manakala 14 lagi dari Pusat Transit Tahanan A’Famosa minggu lalu.

Katanya, hasil saringan daripada semua banduan yang dipindahkan itu, 81 daripada mereka dikesan positif sekali gus mencetuskan kluster baharu di kawasan itu kelmarin.

“Kes indeks berlaku pada minggu lepas merupakan banduan yang dibawa dari penjara di Negeri Sembilan.

“Susulan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneruskan siasatan untuk membuat pengesanan kontak rapat daripada blok yang dikuarantin iaitu Blok Berkat di Penjara Sungai Udang dan jumlah banduan yang menjalani saringan keseluruhan adalah seramai 256 orang.

“Hasilnya, hari ini (semalam) terdapat 76 kes positif sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang positif setakat ini sebanyak 157 kes,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Rahmad berkata, bagi mengekang penularan wabak itu, KKM mengesyorkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengisytiharkan kawasan itu dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 6 Julai ini.

“Ia adalah bertujuan untuk memastikan pengasingan dibuat di kawasan blok kuarantin dan yang kedua membolehkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengesan kontak rapat sekiranya ada lagi pertambahan kes.

“Yang ketiga adalah untuk mengawal jangkitan supaya tidak menular ke blok lain, dan seterusnya memastikan tiada kemasukan banduan baru di penjara berkenaan,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di lapan lokaliti termasuk Penjara Sungai Udang bermula esok.

Bagaimanapun katanya, PKPD penjara itu tidak membabitkan kuarters penjara berkenaan.

Untuk rekod, Penjara Sungai Udang menempatkan seramai 3,499 banduan setakat ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.