Banjir : 26 bot DBKL dikerah selamatkan mangsa banjir Taman Seri Muda

Masa Membaca:56 Saat

KUALA LUMPUR 20 Dis – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengerahkan 26 bot milik agensinya untuk menyelamatkan mangsa banjir di Taman Seri Muda, Shah Alam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, selain bot pihaknya mengarahkan agensi kementerian itu termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) menghantar jentera berat dalam operasi menyelamat di kawasan berkenaan.

“Ia termasuk bot yang kita sewa daripada pihak persendirian bersaiz sederhana dan sebahagian daripada bot ini tidak dapat digerakkan ke sini kerana ada kesesakan,” katanya seperti dipetik laporan Wilayahku.

Dalam pada itu, beliau berkata Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) giat menyalurkan bantuan dalam bentuk hamper makanan kepada mangsa yang enggan berpindah.

Katanya, bagi menyalurkan bantuan itu, yayasan berkenaan menyediakan kira-kira 2,000 pek makanan kering sumbangan Syarikat KK Mart.

“Esok, tambahan 3,000 lagi pek akan dihantar ke sini.

“YWP akan mengkoordinasi bantuan-bantuan daripada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta,” katanya.

Taman Seri Muda adalah kawasan di Shah Alam yang paling terjejas susulan hujan lebat berterusan selama dua hari dan sehingga kini operasi mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

678
Kongsi :
Previous post Banjir: Mangsa di Melaka berkurang malam ini
Next post PDRM gerak 7,047 pegawai dan anggota bantu mangsa banjir
Ubah saiz-+=