PDRM gerak 7,047 pegawai dan anggota bantu mangsa banjir

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

ALOR SETAR, 20 Dis – Seramai 7,047 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan untuk membantu mangsa banjir di lapan negeri yang terjejas akibat bencana itu setakat ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata mereka terdiri daripada 568 pegawai dan 6,479 anggota dari negeri terlibat selain bantuan pasukan Bukit Aman yang turun ke lokasi banjir untuk tugasan mencari dan menyelamat mangsa.

“Buat masa ini kita minta anggota (polis) di negeri (lain yang tidak terjejas banjir) bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Markas Taktikal Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Kedah, Wilayah 1 di sini hari ini.

Sementara itu menerusi perkongsian gambar di laman Facebook rasmi PDRM, sepasukan pegawai dan anggota VAT 69 Komando serta Pasukan Gerakan Am PDRM, ‘Tiger Platoon’ dilihat digerakkan bagi membantu operasi menyelamatkan mangsa banjir di Selangor, negeri yang terjejas teruk akibat bencana alam itu.

Kesemua mereka dikerah tengah malam tadi bagi membantu mangsa banjir Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor.

Susulan itu, kepelbagaian aset digunakan termasuk dua bot PAC serta dua bot ‘rubber dinghy’ digunakan dalam operasi menyelamatkan kira-kira 70 mangsa banjir di situ.

Selain menyelamatkan orang ramai, PDRM menerusi perkongsian gambar itu turut mengagihkan bekalan makanan buat mangsa-mangsa banjir yang terlibat.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1062
Kongsi :
Previous post Banjir : 26 bot DBKL dikerah selamatkan mangsa banjir Taman Seri Muda
Next post Isu banjir di Taman Sri Muda perlu diselesaikan segera – PM
Ubah saiz-+=