Banjir: Bina ban dan ‘flap gate’ atasi banjir – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SUNGAI RAMBAI 3 Jan – Kerajaan negeri akan membina ban dan ‘flap gate’ di Kampung Lancang, bagi mengatasi masalah banjir di kawasan itu.

Exco Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata pembinaan itu merupakan solusi dari masalah banjir yang pertama kali berlaku di kampung tersebut.

Katanya, banjir yang berpunca dari limpahan air sungai dari negeri jiran itu melibatkan 16 keluarga dengan 57 mangsa terjejas dari kampung terbabit.

“Saya difahamkan berlakunya banjir di Kampung Lanchang ini antara puncanya adalah disebabkan pembesaran sungai yang tidak cermat, namun punca utama adalah disebabkan limpahan air sungai dari hulu sungai di Kesang dan Tangkak susulan hujan lebat berterusan.

“Jadi solusi kepada permasalahan banjir di kampung ini adalah dengan membina ban dan flap gate untuk mengatasi limpahan air sungai ke kawasan penduduk, di mana bajet yang diperlukan juga tidak begitu besar dan boleh disiapkan segera dalam tempoh sebulan selepas air surut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas melawat kawasan banjir di Kampung Lanchang, Sungai Rambai di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata pihak JPS juga akan membuat perbincangan bersama pihak Jabatan Pendidikan negeri (JPN) untuk menggunakan tanah bagi membina pam air mudah alih.

“Dan sekiranya menjadi keperluan di masa hadapan, kita juga akan bekerjasama bersama JPN untuk memberi ruang tanah bagi membina ‘portable pump’, kerana jika berlaku lagi banjir teruk seperti ini, air banjir boleh dipam keluar dari kawasan terjejas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1747
Kongsi :
Previous post Ayam, telur, sayur di Melaka turun harga
Next post Banjir: Rezeki ikan betuk dalam musibah
Ubah saiz-+=