Banjir: Rezeki ikan betuk dalam musibah

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

MERLIMAU 3 Jan – Di kala banjir melanda sekitar Kampung Lanchang, di sini, penduduk kampung sekitar mengambil peluang nikmati ‘rezeki’ dengan menjaring dan menjala ikan betuk.

Rata-rata mereka menjadikan hasil tangkapan tersebut sebagai sajian makanan harian, tatkala punca pendapatan mereka terputus sementara akibat bencana banjir yang melanda kawasan sekitar.

Bagi Halil Said, 42, sudah menjadi kebiasaan buat penduduk kampung sekitar Kampung Lanchang dan Semujuk menangkap ikan ketika air naik di sini.

“Kebanyakan kami di sini hanyalah kerja kampung, jadi bila banjir memang punca pendapatan kami terputus sementara, jadi untuk tampung makanan seharian, kami akan menjala ikan di sekitar Kampung Lanchang.

“Kata orang, dalam banjir ada rezeki, jadi adalah hasil buat saya sekeluarga nikmati hasil tangkapan,” katanya kepada MHI ketika ditemui di Kampung Lanchang, di sini, sebentar tadi.

HALIL ketika menunjukkan hasil tangkapan ikan betuk yang diperolehinya hari ini.

Bapa kepada empat orang anak itu turut berkongsi, hari ini sahaja dia berjaya menangkap 10 ekor ikan merangkumi ikan betuk dan sepat.

Sementara itu, Zaharudin Kamal, 42, menyifatkan aktiviti menjala sudah menjadi amalan wajib buat penduduk Kampung Seri Mendapat dan ianya hanyalah aktiviti ‘suka-suka’.

“Sebagai anak jati kawasan ini, sejak kecil kami sudah didedahkan dengan amalan menjala ketika air naik.

“Namun, untuk aktiviti menjala ketika banjir, kami hanya lakukan pada belah siang (pagi dan petang) kerana pada waktu malam, haiwan berbisa seperti ular sangat aktif pada waktu tersebut,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1129
Kongsi :
Previous post Banjir: Bina ban dan ‘flap gate’ atasi banjir – Exco
Next post Wujud DUN belia, rancakkan aktiviti orang muda – KM
Ubah saiz-+=