Banjir di Kelantan dijangka pulih minggu ini – JPS Kelantan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KOTA BHARU, 20 Dis – Banjir yang melanda Kelantan sejak Jumaat lepas di jajahan Kuala Krai, Gua Musang, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli, dijangka pulih sepenuhnya minggu ini berikutan beberapa sungai utama menunjukkan trend penurunan paras air.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Kamal Mustapha berkata ia juga kerana tiada episod hujan lebat di stesen Sungai Kelantan dikesan dalam tempoh beberapa hari akan datang.

“Setakat ini, stesen aras air lembangan Sungai Kelantan di Kuala Krai masih melepasi paras bahaya iaitu 27 meter (m) namun telah menunjukkan trend menurun dan dijangka terus menurun hingga mencapai 25m pada 22 Dis ini.

“Sekiranya paras air sungai berkenaan telah mencapai bacaan 25m kita mampu menarik nafas lega kerana ia akan mengelakkan banjir berlaku dan kembali kepada situasi normal di semua jajahan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan memaklumkan amaran hujan berterusan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Pahang, ditamatkan.

Mengulas lanjut, Kamal berkata Dataran Air Muleh di Pasir Mas juga dijangka mencapai paras 8.5m hari ini yang mana keadaan ini menyebabkan Kampung Seberang Pasir Mas di Salor dan kawasan sekitar tidak berlaku banjir.

Katanya, bagi kawasan Kota Bharu di Jeti Kastam, paras air pula dijangka mencapai paras 5m pada 10 malam ini dan situasi ini menyebabkan air tidak akan melimpah masuk ke kawasan sekitar bandar.

“Kita menjangkakan waktu air banjir daripada bandar Gua Musang untuk sampai ke Kota Bharu mengambil masa 48 jam bermula 10 malam ini.

“Namun, disebabkan air laut tidak menunjukkan berlaku fenomena air pasang besar pada masa tersebut ia membolehkan air sungai terus mengalir keluar ke pantai dengan cepat,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Kamal berkata pihaknya menjangkakan akan berlaku air pasang besar bermula 10 malam ini dengan ketinggian mencecah hingga 1.5m namun bergantung kepada kelajuan angin.

“Oleh itu, saya juga ingin menasihatkan seluruh penduduk di negeri ini agar tidak berada di kawasan pantai untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1287
Kongsi :
Previous post Banjir: Mayat tiga lelaki ditemukan di Taman Sri Muda
Next post Pengetua sekolah harus bijak mendepani cabaran VUCA
Ubah saiz-+=