Banjir di Terengganu: 21 mangsa berpindah ke dua PPS pagi ini

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KUALA TERENGGANU, 17 Dis – Hujan lebat di beberapa kawasan di Terengganu sejak pagi semalam menyebabkan 21 orang daripada lima keluarga terpaksa berpindah ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan PPS pertama yang dibuka pada 1.30 pagi tadi ialah Sekolah Kebangsaan Kasar, Hulu Nerus di daerah Setiu yang menempatkan empat sekeluarga.

“Satu lagi PPS dibuka di daerah Dungun pada 6.30 pagi iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja yang menempatkan 17 mangsa daripada empat keluarga.

“Ketika ini, hujan lebat masih berlaku di kebanyakan tempat dan penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan agar sentiasa peka dan berpindah segera apabila diarahkan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan stesen bacaan di dua sungai Terengganu telah melepasi paras bahaya.

Dua stesen bacaan itu ialah di Sungai Dungun di Pasir Raja setinggi 37.56 meter (m) berbanding paras bahaya 37.5 m dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman setinggi 18.89 m mengatasi paras bahaya 18.5 m.

Selain itu, dua jalan di daerah Kemaman juga ditutup setakat ini kepada semua kenderaan ringan iaitu Jalan Pelatoh ke Lubuk Lesung kerana dinaiki air setinggi 0.4 m dan Jambatan Lama Teladas berikutan arus yang deras.

Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif dan tidak mengambil risiko melalui jalan yang ditutup bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

909
Kongsi :
Previous post Polis N.Sembilan sedia bantu kesan Long Tiger – Ketua Polis
Next post Agong berkenan terima menghadap PM untuk mesyuarat pra-Kabinet
Ubah saiz-+=