Banjir: Kembara 257km tanda Melaka prihatin

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

KUANTAN 25 Dis – Menempuh perjalanan sejauh 257 kilometer (km) bagi misi bantuan pasca banjir Kerajaan Negeri Melaka ke Pahang, hari ini, memberi mesej jelas bahawa keprihatinan itu mampu melangkaui sempadan.

Meskipun dipisahkan beberapa negeri, namun keakraban dalam misi bantuan menunjukkan wujudnya hubungan istimewa di antara Melaka dan Pahang.

Mana tidaknya, misi bantuan pasca banjir pada tanggal 25 Dis 2021 ini bukanlah pertama kali diadakan, sebaliknya ia kali kedua selepas menjalankan misi sama di Daerah Maran, awal tahun lalu.

Misi kali ini membawa seramai 50 sukarelawan pelbagai agensi dengan menaiki 18 kenderaan termasuk sebuah treler bagi menyampaikan sumbangan.

Perjalanan kami bermula dari Seri Negeri di Ayer Keroh menuju ke Felda Sungai Panching Selatan, Kuantan bermula seawal jam 9 pagi.

Konvoi yang diketuai Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dilepaskan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali pada jam 9.10 pagi.

Melaka Hari Ini sekali lagi dipilih sebagai media rasmi mewakili kerajaan negeri untuk mengikuti misi penyampaian sumbangan bantuan banjir ini.

Turut bersama dalam misi ini ialah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Sepanjang perjalanan, mata kami disajikan dengan kesan-kesan banjir dapat dilihat terutamanya apabila memasuki sempadan negeri Pahang.

Antara kesan yang kelihatan ialah di sekitar Paloh Hinai, Gambang dan beberapa kawasan di Kuantan itu sendiri.

Jalan yang berlumpur, dipenuhi sampah sarap dan paras air sungai yang tinggi menjadi antara tinggalan bah yang masih kelihatan

Selepas hampir lima jam perjalanan melalui Segamat, Muadzam Shah dan Gambang, kami akhirnya tiba ke lokasi pengumpulan sumbangan bantuan banjir iaitu di Dewan Semai Bakti di Felda Sungai Panching Selatan.

Setibanya di sana, rombongan kami disambut Datuk Mohd Shahar Abdullah yang merupakan Ahli Parlimen Paya Besar merangkap Timbalan Menteri Kewangan 1.

Gimik penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman selaku ketua misi kali ini kepada Mohd Shahar.

Bantuan pelbagai barangan keperluan asas seperti makanan kering, alat pencuci, pakaian, lampin pakai buang, tilam dan bermacam lagi telah diagih dan ditempatkan di Dewan Semai Bakti, di sini sebagai lokasi pengumpulan.

Kira-kira dua jam diambil bagi mengagihkan barangan tersebut ke dalam dewan pengumpulan itu.

Sekelip mata, dewan yang pada awalnya lapang dipenuhi pelbagai bentuk bantuan yang dibawa dari bumi bersejarah, Melaka.

Ia jelas mencerminkan semangat kerjasama dan keakraban antara negeri di Malaysia dalam bersama meringankan beban dan membantu mereka yang terkesan musibah.

Misi kami di Pahang berakhir kira-kira jam 4 petang.

Meskipun tidak sampai sehari, misi ini telah menunjukkan semangat kebersamaan pelbagai pihak dalam menghulur tangan membantu mereka dalam kesusahan.

Apapun, didoakan agar semua mangsa banjir di seluruh negara terus tabah menghadapi ujian yang melanda.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

942
Kongsi :
Previous post Situasi banjir di Dengkil semakin pulih
Next post Bomba tumpu misi SAR yang mencabar, cari lima mangsa hilang
Ubah saiz-+=