Banjir: Kesiapsiagaan bomba pada tahap optimum, termasuk hadapi air pasang besar

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA LUMPUR, 2 Jan – Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berada dalam keadaan optimum sepanjang musim Monsun Timur Laut yang melanda negara ketika ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata jabatan itu juga dalam keadaan berjaga-jaga khususnya di kawasan pantai barat Semenanjung yang dijangka mengalami fenomena air pasang besar hingga 5 Jan ini.

“Sehingga 8 pagi tadi, sebanyak 4,878 operasi telah pun dilakukan sepanjang musim Monsun Timur Laut. Terkini 7,527 anggota dan 438 aset telah diatur gerak di negeri-negeri yang dilanda banjir.

“Keberadaan Wira Merah di setiap lokasi, bagi saya merupakan relief (kelegaan) kepada rakyat. Untuk itu, saya doakan pasukan Wira Merah kita terus diberi kekuatan untuk memberi khidmat kepada rakyat, di mana sahaja, pada setiap masa,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Dalam hantaran sama, Reezal Merican turut berkongsi mengenai sesi taklimat dan kemas kini kesiapsiagaan pasukan bomba dan penyelamat dalam gelombang kedua banjir di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Putrajaya.

Beliau berkata sesi taklumat itu turut disertai pengarah bomba negeri-negeri untuk memberikan laporan mutakhir real-time mengenai keadaan di seluruh negara khususnya negeri yang mengalami banjir.

Setakat tengah hari ini, jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah, Pahang, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan, manakala Kelantan dan Terengganu menunjukkan penurunan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

606
Kongsi :
Previous post Banjir: 19 PPS dibuka, tempatkan lebih 1,600 mangsa
Next post KPLB kumpul data di seluruh negeri terjejas banjir untuk pelan pembaikan kos
Ubah saiz-+=