Banjir kilat di Muar: Lima PPS dibuka

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

JOHOR BAHRU 20 Jun – Seramai 82 mangsa daripada 18 keluarga di daerah Muar ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan hujan lebat selama beberapa jam pagi tadi yang menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan.

Pegawai Daerah Muar Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata setakat 4 petang, lima PPS yang dibuka ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Maharani, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Tohor, SK Orang Kaya Ali, SK Batu 18 dan SK Parit Nawi.

Beliau berkata semua PPS mula dibuka pada 12 tengah hari.

Kawasan yang terjejas ialah Bentayan, Simpang Jeram, Seri Menanti, Sungai Balang dan Bukit Naning, katanya.

Mohd Haffiz berkata hujan lebat yang bermula pada 5 pagi menyebabkan air pasang meningkat sehingga 1.6 meter pada 8.39 pagi, sekali gus menyebabkan beberapa kawasan rendah ditenggelami air.

“Proses pendaftaran dan pemindahan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di pusat pemindahan.

“Bagaimanapun, pemantauan di beberapa lokasi yang berisiko masih diteruskan. Keadaan paras sungai utama berhampiran juga masih di paras normal dan terkawal,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa buah rumah yang dimasuki air didapati mulai surut namun pihaknya sentiasa berjaga-jaga berikutan faktor cuaca tidak menentu dan paras air pasang dijangka meningkat kepada 2.2 meter pada sebelah malam.

“Pemantauan agensi terlibat juga masih diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mohd Haffiz juga berkata setakat 2 petang tadi, Jalan Muar-Yong Peng (Bakri Batu 9 dan 10) yang terputus akibat ditengelami air telah kembali pulih dan boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Sementara itu, kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor menyebut banjir kilat turut melanda beberapa daerah lain iaitu Johor Bahru, Pontian, Batu Pahat dan Kluang.

Di Johor Bahru, kawasan yang terlibat ialah Kampung Baru Muafakat manakala Pontian pula membabitkan Kampung Sepakat Jaya dan Kampung Parit Pasir.

“Di Batu Pahat pula, kawasan yang terjejas akibat banjir kilat adalah Parit Sulong dan Kampung Simpang Lima selain Cokroh di Kluang.

Bagaimanapun, jumlah sebenar mangsa yang dipindahkan ke PPS masih belum diperoleh.

-BERNAMA

Views:

800
Kongsi :
Previous post Melaka, Johor perkukuh kerjasama ekonomi
Next post Hujan berterusan, MBMB pantau 39 lokasi banjir kilat
Ubah saiz-+=