Banjir: korban 34 nyawa di Selangor dan Pahang

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR 22 Dis – Banjir besar yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor dan Pahang mengorbankan 34 orang, dianggap jumlah tertinggi sejak banjir besar pada 2014.

Daripada jumlah itu, Selangor merekodkan 23 kematian manakala 11 lagi di Pahang, seperti dipetik Astro Awani.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata, sehingga semalam lebih 20 individu terkorban dalam bencana itu.

Di Selangor, kawasan yang paling teruk dilanda banjir iaitu Seksyen 25 Taman Sri Muda dan menemukan sebanyak 12 mayat sejak Sabtu lalu sehingga jam 7 malam tadi.

Selain Taman Sri Muda, Shah Alah, mayat korban banjir turut ditemui di Kajang, Sungai Buloh dan Klang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis dilaporkan berkata, enam daripada mayat berkenaan membabitkan empat wanita dan seorang lelaki ditemui dalam beberapa rumah di kawasan Taman Sri Muda.

“Mangsa pertama, seorang lelaki dewasa ditemui pada jam 6 petang Sabtu lalu manakala dua mayat lelaki ditemui masing-masing jam 12 tengah hari dan 2 petang keesokannya.

“Lima mayat lagi ditemui semalam antara jam 12 tengah hari dan 8.35 malam melibatkan empat wanita dan seorang lelaki,” katanya.

Mengulas lanjut, Norazam berkata, mayat seorang lagi wanita ditemukan pada jam 6.20 petang di sebuah rumah dipercayai mati lemas.

Katanya, tiga lagi mangsa lemas turut ditemukan di Kota Kemuning Utama, Seksyen 33; Jalan Utama masuk ke Kemuning Utama, Seksyen 22 dan Lebuhraya Elite berhadapan Management and Science University (MSU) Seksyen 13.

Sementara itu di Pahang, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Yusoof berkata sebanyak lapan kematian direkodkan di Bentong manakala dua lagi di Kuantan dan satu di Raub.

Jumlah itu dijangka meningkat berukutan beberapa mangsa yang masih hilang dikhuatiri lemas.

Pada 2014, musibah sama melanda lima negeri iaitu Kelantan Pahang, Terengganu, Perak serta Johor.

Bencana itu mengorbankan 21 nyawa di Kelantan Terengganu dan Pahang manakala 10 lagi dilaporkan hilang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

748
Kongsi :
Previous post Osman Sapian meninggal dunia
Next post Dua termasuk seorang kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas redah air di padang bola
Ubah saiz-+=