Banjir: Kumpulkan al-Quran untuk dilupuskan mengikut syarak

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER LIMAU 27 Dis – Pihak pengurusan dan anak kariah Masjid al-Wakil, Lubok Cina di sini bertungkus-lumus mengumpulkan kitab suci al-Quran yang musnah akibat banjir untuk dilupuskan.

Usaha harus dilakukan agar kitab suci itu tidak terbiar begitu sahaja, sebaliknya dilupuskan melalui kaedah yang dibenarkan syarak.

Sehubungan itu, Pengerusi Masjid al-Wakil, Lubok Cina dekat sini, Nasarudin Mohd, 60, dan anak kariah masjid itu berusaha sedaya upaya bagi memastikan ratusan al-Quran yang rosak akibat banjir pada 18 Disember lalu, dikumpulkan sebelum diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk dilupuskan.

Nasarudin berkata, dalam kejadian jam 5 pagi, 18 Disember lalu, keseluruhan masjid berkenaan dinaiki air setinggi kira-kira 2.3 meter, sekali gus menyebabkan al-Quran dan buku agama terendam dalam banjir.

Dia berkata, selain pelbagai peralatan masjid yang disedekahkan orang ramai, tidak kurang juga anggota komuniti yang menginfakkan wang ringgit kepada masjid itu.

“Alhamduilillah, Allah memudahkan usaha melengkapkan semula masjid yang dilanda banjir minggu lalu,” katanya.

NASARUDIN menunjukkan al-Quran yang rosak akibat banjir yang dikumpulkan sebelum diserahkan kepada JAIM untuk dilupuskan mengikut kaedah dibenarkan syarak di Masjid al-Wakil, Lubok Cina dekat Masjid Tanah. Foto Din Ahmad

Imam II masjid itu, Abdul Latif Kassim, 54, berkata keseluruhan permaidani masjid musnah akibat kejadian itu dan pihak pengurusan masjid mengucapkan syukur kepada Allah dan terima kasih kepada mereka yang menyedekahkan permaidani.

“Kami menerima permaidani terpakai daripada orang ramai yang prihatin terhadap keadaan di masjid ini dan Alhamdulillah sebahagian besar daripada ruang solat dalam masjid sudah ditutupi permaidani berkenaan.

“Begitu juga dengan sejadah yang disedekahkan oleh orang ramai meringankan beban kewangan kami untuk mendapatkan sejadah baharu,” katanya ketika ditemui di masjid itu hari ini.

Ahli jawatankuasa (AJK) masjid, Rafaei Rahmad, 70, berkata pihak pengurusan masjid tidak putus-putus menerima sumbangan wang ringgit daripada individu dan syarikat swasta yang prihatin terhadap keperluan masjid.

“Alhamdulillah, selepas banjir begitu ramai yang menghulurkan sumbangan dan kami amat terharu dengan kesanggupan mereka berkorban wang ringit,” katanya.

Seorang lagi AJK masjid, Abdul Malek Sidek, 60, berkata masjid itu juga menerima bantuan tenaga daripada kumpulan penuntut institusi pengajian tinggi, syarikat swasta dan
pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membersihkan masjid.

“Kalau hendak diharapkan pada tenaga kami sahaja, tidak cukup dan kami amat berterima kasih kepada mereka yang sudi membantu membersihkan masjid,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1006
Kongsi :
Previous post Tiada isu harga tiket Zoo Melaka mahal, pengunjung tetap puas hati
Next post Pandu mabuk, seorang mati, penyelia mengaku tidak bersalah
Ubah saiz-+=