Banjir: Lebih 2,500 mangsa di Melaka pagi ini

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 3 Jan – Jumlah mangsa banjir di Melaka semakin meningkat apabila mencatatkan seramai 2,537 mangsa melibatkan 656 keluarga dipindahkan setakat jam 8 pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka juga meningkat kepada 22 berbanding 20 malam tadi.

Katanya, setakat ini 10 PPS dibuka di daerah Alor Gajah, sembilan di Melaka Tengah dan tiga di Jasin.

“PPS yang terbaharu dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Chinchin di daerah Jasin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah dan SMK Tun Mutahir di daerah Melaka Tengah,” katanya.

Beliau berkata, jumlah mangsa tertinggi ialah di daerah Melaka Tengah 1,391 mangsa diikuti 1,015 mangsa di daerah Alor Gajah dan 131 di Jasin.

Manakala PPS menempatkan jumlah mangsa teramai ialah PPS SK Krubong dengan 303 mangsa, diikuti PPS SK Batu Berendam 2 (301 mangsa), PPS SK Taman Merdeka (230 mangsa) dan PPS SK Gangsa (215 mangsa).

Selain itu, jumlah kawasan yang terjejas turut meningkat kepada 32 kawasan membabitkan 14 di daerah Alor Gajah, sembilan di Melaka Tengah dan sembilan di Jasin.

Di Alor Gajah, kawasan terjejas melibatkan Kampung Gadek Dalam, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Pengkalan, Kampung Panchor, Kampung Beringin, Kampung Sungai Siput, Lubok China, Kampung Jeram, Kampung Belimbing, Kampung Pulau, Kampung Telok Berembang, Kampung Bukit Balai, Kampung Gangsa dan Taman Angkasa Nuri.

Manakala di Melaka Tengah membabitkan Kampung Lanjut Manis, Padang Siapong, Kampung Tanah Merah, Taman Merdeka Jaya, Taman Tamby Chik Karim, Rumah Awam Peringgit, Kampung Bachang Darat, Balai Panjang dan Bertam Malim.

Di Jasin pula, terdapat pertambahan lima kawasan baharu yang terjejas iaitu Kampung Chinchin, Chinchin Hulu, Kampung Sungai Dua Asahan, Chohong dan Chenderah selain Kampung Parit Penghulu, Kampung Lanchang Kampung Tersusun Rambai Jaya serta Kampung Tasek.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1507
Kongsi :
Previous post Banjir: TYT seru rakyat Melaka sentiasa waspada
Next post Saudara (1928-1941): Covering Melayu Tanjong and the World
Ubah saiz-+=