Banjir: Lebih banyak pusat pemindahan dibuka di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

MELAKA 1 Jan – Melaka membuka lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini susulan peningkatan mangsa banjir di negeri ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Left Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, setakat malam ini, sebanyak 11 PPS telah dibuka membabitkan ketiga-tiga daerah di Melaka.

Katanya, mangsa banjir yang direkodkan setakat jam 8 malam ialah seramai 677 orang dari 173 keluarga.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 569 mangsa dari daerah Alor Gajah, 108 di Melaka Tengah dan di Jasin masih dalam proses pendaftaran.

“Jumlah mangsa tertinggi buat masa ini ialah di PPS SRA JAIM Jelatang dengan 228 mangsa, diikuti PPS SMK Seri Pengkalan (168 mangsa) dan PPS SK Krubong (106 mangsa).

“PPS yang baharu dibuka dan sedang dalam proses pendaftaran ialah di SK Durian Tunggal di Alor Gajah; SK Taman Merdeka di Melaka Tengah dan SK Parit Penghulu di Jasin,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 15 kawasan terjejas banjir di seluruh negeri.

11 daripadanya membabitkan daerah Alor Gajah iaitu di Kampung Gadek Dalam, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Pengkalan dan Kampung Panchor, Kampung Beringin, Kampung Sungai Siput, Lubok Cina, Kampung Belimbing, Kampung Jeram, Kampung Pulau dan Kampung Telok Berembang.

Manakala empat lagi kawasan ialah di Melaka Tengah iaitu Kampung Lanjut Manis, Padang Siapong, Kampung Tanah Merah dan Kampung Krubong.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1179
Kongsi :
Previous post Banjir: ‘Dah tiada barang nak diselamatkan’ – mangsa
Next post Banjir : Mangsa meningkat kepada 1,122 di Melaka
Ubah saiz-+=