Banjir Lubok China terburuk sejak 1971 – penduduk

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER LIMAU 18 Dis – Banjir yang melanda pekan Lubok China dan beberapa kampung di sekitarnya, awal pagi tadi merupakan yang terburuk sejak 1971, dakwa penduduk.

Peniaga ikan dan sayur, Radzi Md Rotin, 60, berkata dalam bencana banjir sebelum ini, air Sungai Rembau hanya melimpah ke kawasan bulatan di tengah pekan itu sahaja.

Namun, ujarnya, kali ini banjir menyebabkan kawasan lain seperti Kampung Telok Berembang dan Masjid Al Wakil dinaiki air sehingga 1.8 meter.

“Mujurlah saya sempat memindahkan barangan perniagaan ke kawasan selamat pada jam 4 pagi tetapi gagal menyelamatkan peti ais.

“Banjir seumpama ini pernah berlaku ketika saya berusia 10 tahun, kira-kira 50 tahun lalu dan ketika itu seluruh pekan Lubok China tenggelam,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

BANJIR yang melanda pekan Lubok China dan kampung
sekitarnya disifatkan sebagai yang terburuk sejak 1971.

Sementara itu, Mohd Rozi Khamis, 45, berkata banjir turut berlaku pada 21 Oktober lalu, namun ia hanya membabitkan beberapa perumahan dan kawasan bulatan di pekan sahaja.

Bagaimanapun, katanya banjir kali ini lebih tinggi daripada paras satu meter dan arusnya pula sangat deras.

“Hujan lebat tanpa henti sejak jam 2.30 petang semalam menyebabkan Sungai Rembau melimpah pada jam 4.30 pagi tadi sebelum air naik sehingga 1.8 meter di warung kopi yang saya usahakan.

“Selain itu, Masjid al-Wakil di tengah pekan sebelum ini tidak pernah dilanda banjir tetapi limpahan sungai berkenaan awal pagi ini menyebabkan air naik hingga hampir mencecah bumbung,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengarahkan Pegawai Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk segera mengambil tindakan sewajarnya.

Pada masa sama, beliau turut mengarahkan kesemua perwakilan UMNO termasuk Pemuda dan Puteri untuk membantu membersihkan rumah-rumah dan bangunan yang terjejas banjir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1423
Kongsi :
Previous post Kemalangan Lebuhraya Elite: PM Ismail Sabri ucap takziah
Next post 11 kes import disahkan varian Omicron, kumulatif kini 13 kes
Ubah saiz-+=