‘Banjir sudah sebati dengan kami’

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

TABOH NANING 23 Sept. – “Setiap kali hujan lebat di hulu sungai, pondok kami akan dinaiki air tetapi setiap kali itu juga, ada pihak yang membantu kami menyelamatkan diri.

“Kami sudah biasa dengan banjir sejak tinggal di pondok ini kira-kira 10 tahun lalu dan berharap diberikan rumah bantuan kerajaan,” kata Sabtu Yusoh, 80.

Warga emas itu berkata, beliau dan isteri, Semah Mansor, 78, sekali lagi terpaksa berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Cherana Puteh, Simpang Ampat, di sini selepas air naik kira-kira jam 8 malam tadi pada Isnin (21 September).

Katanya, hujan lebat mulai jam 5.30 petang baru-baru ini menyebabkan sungai yang hanya kira-kira 1.5 meter dari pondoknya melimpah dan naik di kaki tangga pondok.

Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada beberapa pemimpin kampung itu kerana membantu mengangkat barangan keperluan dan menyediakan pengangkutan untuk memindahkannya dan isteri.

“Alhamdulillah, pemimpin kampung ini tidak pernah lupa untuk membantu kami setiap kali hujan lebat kerana dia tahu pasti pondok kami dinaiki air setiap kali hujan lebat,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan semalam.

Bekas pekerja estet getah itu berkata, selain dia dan isteri, turut tinggal di kawasan berhampiran sungai itu ialah anak bongsunya, Hamdan yang berusia sekitar 40-an, isteri dan enam anak mereka yang menghuni rumah bersebelahan dengan rumahnya.

Katanya, dia sudah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan membina rumah di kawasan agak jauh dari kediaman sedia ada dan amat berharap ia segera diluluskan.

Sementara itu, seorang lelaki yang enggan namanya disiarkan berkata, Sabtu dan isterinya serta keluarga Hamdan diberikan penginapan di balai raya kampung berkenaan malam tadi.

“Kami membawa mereka pulang pagi ini (semalam) selepas air surut mulai jam 11 malam dan kami tidak akan sama sekali membiarkan mereka bersendirian ketika banjir,” katanya.

Views:

380
Kongsi :
Previous post “Terima kasih TNB’
Next post Pemandu dan kelindan lori maut terbabit kemalangan
Ubah saiz-+=