Bantuan PSU industri pelancongan perlu diteruskan

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 29 Mei – Pemain industri pelancongan di negeri ini menyeru agar bantuan di bawah Program Subsidi Upah (PSU) dilanjutkan sehingga hujung tahun ini bagi membolehkan pembayaran gaji pekerja sedia ada.

Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA) Madeline Kuah Wey Lee berkata, pada masa sama pihaknya meminta pemberian bantuan itu turut dinaikkan dari RM600 kepada RM1,200 sebulan.

“Diikutkan tarikh sebenar PSU ini dilaksanakan sehingga bulan Jun ini, namun rentetan kerajaan umumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ bermula 1 Jun ini, jadi bantuan PSU perlu dilanjutkan lagi.

“Bantuan PSU dan seumpamanya perlu dilaksanakan dengan kadar segera serta menyambung bantuan upah tersebut yag dikira sedikit sebanyak membantu mengurangkan lambakan kes diberhentikan kerja khususnya di negeri ini,” katanya kepada MHI.

MADELINE

Katanya lagi pihaknya turut meminta supaya moratorium dilaksanakan secara automatik selama satu tahun kepada semua dan bukannya bersyarat dan bersasar.

“Sekarang sektor pelancongan memang ‘zero income’, jadi pihak bank, agensi kewangan, kredit dan lain-lain yang terlibat perlu bantu rakyat dengan memberi moratorium tanpa faedah dan secara ‘auto’ kepada semua.

“Total lockdown pada semua jenis perniagaan kecuali ‘petrol pum’ dan berkaitan kesihatan saja, tiada guna buka 10 peratus sektor ekonomi sedangkan yang lain tidak berfungsi,” katanya lagi.

HOCK GIN

Sementara itu Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka Goh Hock Gin turut menyatakan hasrat yang sama supaya bantuan PSU diteruskan bagi menjamin kelangsungan hidup pekerja industri pelancongan.

“Keadaan sekarang yang agak teruk, bila ‘lockdown’ situasi pemain industri bertambah parah. Disebabkan itu kita kena stabilkan ekonomi memandangkan industri pelancongan antara yang paling teruk terjejas.

“Justeru kita minta PSU ini diteruskan lagi bagi memastikan pemain idustri pelancongan akan dapat bernafas,” katanya.

Pada masa sama Hock Gin meminta supaya pemain industri atau agen pelancongan di negeri ini mencari alternatif lain walaupun industri pelancongan tidak dapat beroperasi.

Semalam kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula 1 hingga 14 Jun depan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan malam tadi berkata, menerusi total lockdown atau perintah berkurung penuh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

373
Kongsi :
Previous post Tenang semua! Barang makanan dan keperluan mencukupi
Next post Belum ada data rakyat terkesan diterima – Norhizam
Ubah saiz-+=