Bapa, 3 abang kandung mengaku tak bersalah rogol, liwat gadis

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 5 Mei – Seorang bapa beserta tiga anak lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol, meliwat dan memukul anak perempuannya.

Pemandu lori berusia 51 tahun dan tiga anak lelaki berusia 23, 27, dan 29 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan terbabit dibacakan secara berasingan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Dalam prosiding itu, dia didakwa dengan 33 pertuduhan merogol mangsa berusia 17 tahun dua bulan yang mana perhubungan tertuduh dengan anaknya itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang untuk berkahwin dengannya.

Bagi kesalahan rogol tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut berdepan satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Selain itu dia dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa menggunakan getah paip dan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan.

Sementara itu, ketiga-tiga abang mangsa dituduh dengan 18 pertuduhan merogol remaja perempuan itu dan didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Mereka juga didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan keempat-empat tertuduh di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya antara 1 Mac 2020 hingga 1 Februari 2021 lalu.

Timbalan Pendakwa Raya N.Sivashangari yang menjalankan pendakwaan membantah jaminan terhadap semua tertuduh memandangkan mangsa adalah darah daging keluarga itu sendiri dan dikhuatiri akan diganggu oleh kesemua tertuduh.

Nariman dalam pengadilannya bagaimanapun membenarkan lelaki itu diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan atau jumlah keseluruhan RM280,000, manakala tiga anak lelakinya pula dibenarkan diikat jamin RM144,000 setiap orang.

Beliau kemudian menetapkan 8 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Melaka Hari Ini  sebelum ini melaporkan perbuatan jijik seorang bapa dan tiga anak lelakinya menjadikan remaja perempuan berusia 18 tahun sebagai hamba seks selama setahun akhirnya terbongkar selepas polis memberkas keempat-empat suspek.

Tangkapan itu dibuat susulan mangsa membuat laporan pada 2.59 petang pada 21 April lalu berhubung kejadian itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2117
Kongsi :
Previous post PKP di Kuala Lumpur, beberapa kawasan di Terengganu, Johor dan Perak mulai Jumaat
Next post MUFC pulang hampa di Likas
Ubah saiz-+=