Bapa dakwa anak dilempang guru

0
9674
PDRM. Foto internet

MELAKA 21 Okt. – “Saya kesal kerana anak dilempang sebanyak enam kali oleh guru displin di sekolahnya tanpa sebarang usul periksa. Saya harap pihak berkenaan menyiasat dan memandang serius perkara ini dan mengenakan tindakan wajar terhadap guru tersebut,” kata Rosli Sidek, bapa kepada Danish Muzzakir, 16, yang merupakan seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di negeri ini.

Menurut Rosli, tindakan guru itu telah mengakibatkan kecederaan fizikal dan tekanan emosi terhadap anaknya.

“Saya diberitahu anak tentang kejadian ini hanya setelah seminggu berlaku, di mana anak mengadu tidak tahan menanggung rasa sakit di bahagian dalam telinga dan minta dibawa ke klinik.

“Saya yang ketika itu bekerja di luar kawasan terkejut mendengar perkara tersebut dan bergegas pulang.

“Apabila ditanya mengapa tidak diberitahu awal, anak mengaku berasa takut dan tidak tahu apa perlu dibuat. Dan sejurus tiba di Melaka, saya segera membawanya ke kilink untuk mendapatkan rawatan dan terus membuat laporan polis,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Tambah Rosli, lagi doktor mengesahkan terdapat kesan luka dan darah yang telah kering di bahagian telinga kiri akibat dilempang guru terbabit.

“Saya juga diminta doktor untuk merujuk kepada pakar telinga bagi rawatan lanjut. Lebih membimbangkan apabila anak memberitahu bahawa pendengaran di bahagian telinga kiri kurang jelas dan berdenggung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan menerima laporan tersebut pada 30 September lalu.

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka Ismail Alias ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kes tersebut kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.