Sisa Toksik: beberapa pihak dikenalpasti

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PANTAI KUNDOR 21 Okt. – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka berjaya mengesan beberapa pihak yang terlibat dalam insiden sindiket simpanan ratusan tong dipercayai mengandungi unsur berbahaya dan bertoksik di Tanjung Kling, di sini.

Pengarahnya Rosli Osman berkata, pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan ke atas kes yang berlaku terbabit bagaimanapun tidak mendedahkan pihak yang terlibat dalam kejadian itu.

Ujarnya, penyiasatan terbabit dijalankan secara berperingkat termasuk melibatkan ketetapan dari Pendakwa Raya negeri untuk menentukan pertuduhan terhadap dalang kegiatan itu.

“Insiden yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu dibuat sebagai jalan mudah yang mengundang bahaya kepada alam sekitar, selain menggelakkan diri daripada dikenakan kos menguruskan pelupusan sisa tersebut,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerja-kerja pembersihan bagi melupuskan pelupusan sisa toksik yang disimpan di gudang terbabit akan diselenggara oleh kontraktor yang terlibat.

Katanya, pihaknya telah mengarahkan kontraktor terlibat bagi menjalankan kerja-kerja berkenaan dan mengambil tempoh kira-kira sebulan untuk dilupuskan.

Katanya, sisa toksik terbabit akan dilupuskan di lokasi yang telah ditetapkan di negeri ini dengan kebenaran pelupusan berlesen diluluskan JAS.

“Kesemua tong sisa toksik berkenaan akan dilupuskan di beberapa lokasi pusat pelupusan seperti di Bukit Rambai, Krubong serta pelbagai lagi.

Terdahulu, satu sindiket telah berjaya dibongkar JAS dengan menemukan stor penyimpanan sisa toksik dan bahan terjadual berbahaya hasil aduan orang ramai di Kampung Pengkalan Perigi, di sini.

Risikan dan serbuan di kawasan itu menemui sebanyak 900 tong dram, enam tangki intermediate bulk containers (IBC), tujuh tong tercemar dan lima buah tangki simpanan minyak yang disyaki mengandungi enapcemar minyak ditinggalkan di gudang berkenaan dalam satu tempoh masa yang lama.

Ratusan tong sisa toksik dan bahan terjadual berbahaya itu telah disimpan bertahun lamanya tanpa disedari penduduk sekali gus menunjukkan pihak terlibat hanya mengejar keuntungan tanpa mempedulikan kesan kepada alam sekitar.

Views:

421
Kongsi :
Previous post Bapa dakwa anak dilempang guru
Next post COVID-19: SMK Tunku Besar Tampin tutup tujuh hari
Ubah saiz-+=