COVID-19: SMK Tunku Besar Tampin tutup tujuh hari

SEREMBAN 21 Okt – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin diarah tutup selama tujuh hari bermula esok selepas seorang pelajarnya didapati positif COVID-19.

Perkara itu dinyatakan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Md Fiah Md Jamin dalam surat yang dikeluarkan kepada pengetua sekolah berkenaan hari ini dan disahkan pegawai Jabatan Pendidikan negeri yang dihubungi Bernama hari ini.

“Pihak sekolah hendaklah memastikan guru bekerja dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dari rumah berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang tempoh penutupan sekolah,” kata Md Fiah dalam surat berkenaan.

Sementara itu, ketika ditemui di Tampin, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata sekolah berkenaan ditutup bagi proses santisasi.

Katanya, sebanyak lapan kes baharu COVID-19 direkodkan hari ini, masing-masing di Gemas dan Keru.

”Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan menyeru kontak rapat kepada pesakit tampil melakukan saringan ujian calitan COVID-19.

“Pejabat Kesihatan Daerah Tampin sedang mengambil langkah untuk mengesan kontak rapat pesakit COVID-19 ini,” katanya.

Negeri Sembilan hari ini merekodkan sembilan kes baharu COVID-19 dengan lapan daripadanya di Tampin dan satu di Port Dickson, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,119 kes.

– BERNAMA

Views:

436
Previous post Sisa Toksik: beberapa pihak dikenalpasti
Next post JDT rugi RM35 juta kesan COVID-19 – TMJ