‘Barang dah sampai Melaka tapi tak sampai rumah’

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER KEROH 11 Julai – Lagi luahan pengguna berhubung isu kelewatan perkhidmatan penghantaran barang dikendalikan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.

Isu itu dikatakan berlarutan seolah-olah tiada tindakan diambil, malah syarikat juga didakwa tidak memberi sebarang maklum balas apabila ditanya pelanggan.

Pemerhatian Melaka Hari Ini di Facebook mendapati ramai pengguna menyatakan kecewa dengan mutu perkhidmatan syarikat terbabit.

Ada kalangan mereka menubuhkan beberapa kumpulan yang disertai ribuan pengguna semata-mata meluahkan permasalahan dan mengecam perkhidmatan tidak setanding nama syarikat itu.

Selain isu lewat, ada pengguna mendakwa barang yang diposnya dicuri atau gagal dikesan selepas berbulan menanti.

Seorang pengguna, Khairunnisa Lokman, 37, berkata, dia kecewa perkhidmatan itu gagal dihubungi setiap hari biarpun barang yang dikirim untuknya sudah tiba di negeri ini, namun tidak sampai ke rumah.

“Apabila saya periksa ‘online’ barang dah sampai Melaka tapi makan masa lima hari nak sampai rumah.

“Setiap hari saya hubungi mereka memang berjawab tapi ‘robot’ yang cakap dan akhirnya tiada jalan penyelesaian sehingga makan masa berhari-hari.

“Barang yang dipos pada 1 Julai lalu telah tiba di Pos Pusat sehari selepas itu apabila dijejaki menggunakan nombor pengesanan dan saya hanya menetap di Krubong.

“Saya risau sebab barang dipos itu adalah makanan dan mungkin akan rosak apabila disimpan terlalu lama dalam keadaan yang tidak sesuai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

NUR FARAH HUDA.

Nur Farah Huda Sahiran, 27, pula mendakwa masalah hanya dihadapi di pejabat pengumpulan syarikat itu di negeri ini, berikutan barangan dikirim kepadanya sudah lama tiba di Melaka, namun memakan masa untuk sampai ke rumahnya.

“Saya memesan ikan peliharaan di atas talian dan penjual telah mengeposnya pada 19 Jun lalu, namun empat hari baru ia tiba ke rumah saya.

“Saya turut meminta penjual pos ‘fast delivery’ sebab memesan benda hidup, tidak sepatutnya lewat untuk tiba ke rumah saya.

“Sampai saja ikan itu dah separuh nyawa, mujur selamat tiba ke rumah saya” katanya.

PUTERI SALEHA.

Seorang lagi pengguna, Putri Saleha Salihat,28 berkata, disebabkan sering berdepan masalah sama sebelum ini dia sanggup membayar caj tambahan demi mengguna perkhidmatan syarikat lain.

“Kecewa dengan tindakan syarikat itu yang lewat dan gagal dihubungi saya tukar guna perkhidmatan syarikat penghantar lain.

“Saya berharap tindakan diambil berikutan ramai pengguna khususnya di Melaka berdepan sama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

733
Kongsi :
Previous post Jabatan Kecemasan HM akan ditutup kepada pesakit tidak kritikal
Next post APMM gagalkan cubaan seludup 1 tan daun ketum ke Thailand
Ubah saiz-+=